Chu E Liang berpuisi di dalam gerabak kereta api sempena Hari Kebangsaan 2025

Chu E Liang sewaktu menyampaikan puisinya

Oleh: Norzana Razaly 

TUMPAT, 3 September – Suasana di dalam gerabak Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Wakaf Bharu ke Gua Musang pada 31 Ogos lalu menjadi luar biasa apabila penumpang disajikan bait-bait puisi patriotik secara langsung bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Penyair tersohor tanah air, Chu E Liang, 61, buat julung kalinya mempersembahkan puisinya berjudul Nada Bermadah Warga Bermaruah, sekali gus mencipta pengalaman unik yang menggabungkan denyut nadi seni dengan perjalanan merentas desa di negeri kelahirannya, Kelantan.

Deklamasi itu berlangsung sepanjang perjalanan dari utara ke selatan Kelantan menjadikan puisi sebagai iringan kepada deruman roda besi dan panorama alam semula jadi yang terbentang di sepanjang landasan.


Anak kelahiran Kampung Joh, Machang itu telah menulis lebih 500 karya sepanjang empat dekad, dikenali sebagai suara konsisten dalam dunia kesusasteraan Malaysia.

Karya-karyanya sering mengangkat tema patriotisme, keharmonian dan perpaduan, meraikan kepelbagaian masyarakat negara.

“Setiap kali saya berhenti menulis, saya akan kembali dengan puisi kemerdekaan. Ia menyemarakkan semangat saya dan mendorong saya untuk terus berkarya,” katanya.

Beliau mula menulis sejak awal 1980-an dengan puisi pertamanya Hujan yang tersiar dalam Dewan Siswa (April 1983) dan seterusnya dalam antologi Bunga Pelangi (1985). 

Sejak itu, beliau telah menerbitkan empat buku selain menyumbang ratusan karya dalam akhbar, majalah dan antologi.

Sebagai Peranakan Cina, Chu banyak mengambil inspirasi daripada kehidupan berbilang kaum sejak kecil.

“Sejak kanak-kanak, saya membesar dengan rakan Melayu, India dan Siam. Dalam budaya Peranakan Cina sendiri, pengaruh Melayu dan Siam sangat kuat berpunca daripada makanan, pakaian sehinggalah seni bina.

"Jadi setiap kali menulis, walaupun tentang kemerdekaan, saya sering menyelitkan tema keharmonian dan perpaduan. Itu seiring aspirasi kerajaan,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini. 

Chu turut mengakui minat terhadap penulisan semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat Cina, namun beliau memuji penulis muda yang masih aktif berkarya.

“Saya berharap puisi kemerdekaan terus menjadi jambatan yang menyatukan rakyat Malaysia. Puisi menyentuh jiwa tanpa mengenal bangsa, mengingatkan kita tentang roh perjuangan dan makna sebenar kemerdekaan,” jelasnya.

Meskipn menetap di Machang, Chu memaklumkan beliau sengaja memilih menaiki kereta api di Stesen Wakaf Bharu untuk menyertai Program Khatam Puisi Dalam Kereta api sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 adalah anjuran Persatuan Penulis Kelantan (PPK). 

“Saya mahu merasai perjalanan yang lama dari utara hingga ke selatan Kelantan bersama rakan penyair Abdul Hadi Yusuf, Awang Abdullah, Mukhtar Mustafa, Usman Gumanti, Mohd Nor Yusuf dan Aireen Tan Ai Leng,” katanya.

Menurut Ketua 2 PPK Razak Othman yang menyambut ketibaan rakan penyair di Stesen KTMB Gua Musang memaklumkan bahawa program pertama kali dianjurkan itu melibatkan 34 penyair Kelantan.


“PPK berterima kasih kepada KTMB atas kerjasama membantu melancarkan acara 34 penyair secara  bergilir-gilir memdeklamasi puisi bertema patriotik di dalam gerabak kereta api sepanjang perjalanan dari Stesen Wakaf Bharu ke Gua Musang,” katanya.

Post a Comment

0 Comments