Cinta kepada Nabi SAW bukan bermusim - Exco Dakwah


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

BACHOK, 23 September – Cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW bukanlah sesuatu yang bermusim, sebaliknya kewajipan yang mesti dihayati setiap masa sebagai panduan hidup umat Islam.

Demikian ditekankan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, ketika berucap pada Program Hubbun Nabi SAW Peringkat Jajahan Bachok di Dataran Perahu, Pantai Irama, di sini, semalam.

“Apabila kita mencintai Nabi SAW, kita mengharapkan syafaat baginda di akhirat kelak. Niat hadir ke program sebegini semata-mata kerana cintakan Rasulullah SAW akan membuka jalan untuk meraih fadilat keagungan Nabi Muhammad SAW. Cinta kepada Nabi tidak boleh dihadkan pada bulan Rabiulawal semata-mata, bahkan perlu dihayati sepanjang hari, bulan dan tahun,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW bukan sahaja tokoh agama, tetapi juga seorang pemimpin negara yang unggul dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, penyatuan kaum dan penyelesaian masalah sosial.


“Ikutan kita terhadap Nabi SAW bukan hanya pada makanan, pakaian dan perkahwinan, tetapi juga dalam urusan pentadbiran dan kenegaraan. Dengan mengikuti Nabi SAW, kita akan dicintai oleh Allah SWT,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan menjadikan Program Hubbun Nabi SAW sebagai inisiatif berterusan untuk menghidupkan gelombang kecintaan kepada Rasulullah di semua peringkat.

Bermula daripada pemimpin negeri hingga ke akar umbi, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat umum.

Program kali ini diserikan dengan perarakan Maulidul Rasul melibatkan lebih 500 peserta daripada 46 kontinjen merangkumi agensi kerajaan negeri, persekutuan serta sekolah di Jajahan Bachok.

Johan perarakan Maulidul Rasul- PDRM Bachok

Kejayaan perarakan berpihak kepada PDRM Bachok yang diumumkan sebagai johan dan menerima wang tunai RM1,000 beserta hamper.

Tempat kedua diraih Pejabat Agama Jajahan (PAJ) Bachok dengan hadiah RM700, manakala SABK Darul Ulum, Kampung Kulim Bachok di tempat ketiga menerima RM500.

Turut hadir memeriahkan program, Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam, Mohd Zaki Yusof, ADN Jelawat YB Zamri Mat Nawang, ADN Tawang YB Harun Ismail, YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusof dan Ketua Whip Ahli Majlis MDB, Muslim Yusof.

Bertemakan “Hubbun Nabi – Gelombang Cinta Rasulullah”, program tersebut sekali lagi menegaskan mesej bahawa kecintaan kepada Nabi SAW bukanlah ritual bermusim, tetapi teras penghayatan sepanjang hayat.

Tempat kedua perarakan Maulidul Rasul- Pejabat Agama Jajahan (PAJ) Bachok

Tempat ketiga perarakan Maulidul Rasul- SABK Darul Ulum, Kampung Kulim Bachok


Post a Comment

0 Comments