Kelantan wartakan pulau di Delta Tumpat sebagai HSK


Oleh: Asri Hamat

TUMPAT, 22 September – Kerajaan Negeri Kelantan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan sebahagian pulau di Delta Tumpat sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi memastikan pemuliharaan spesies bakau dan pesisiran pantai terus terjamin.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata keputusan itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Bilangan 15/2025 pada 16 Julai lalu.

“Kerajaan Negeri melalui MMK telah bersetuju untuk mewartakan sebahagian daripada pulau-pulau yang ada di Delta Tumpat sebagai HSK bagi tujuan pemuliharaan spesies bakau dan pesisiran pantai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Padang Kemahkotaan, Pantai Ndo, semalam.


Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra, yang turut menzahirkan sokongan terhadap inisiatif melestarikan ekosistem hutan paya laut.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar juga mengumumkan pewartaan dua lagi kawasan baharu sebagai HSK, iaitu Taman Rafflesia di Tanah Tinggi Lojing dan Wetland di Tok Bali.

“Keputusan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara hutan paya laut yang ada di negeri ini kerana menjaga alam sekitar adalah amanah untuk kesejahteraan generasi masa depan,” katanya.


Beliau juga menekankan bahawa hutan paya laut menjadi benteng semula jadi untuk menahan hakisan ombak dan rebut dan menjadi sumber rezeki nelayan serta habitat biodiversiti yang unik.

Menteri Besar turut menzahirkan penghargaan atas pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah sambutan bertaraf kebangsaan yang menggabungkan dua acara utama iaitu Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa dan Karnival Perhutanan Sosial.

“Semoga majlis ini bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi titik tolak kepada kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, NGO, akademia dan masyarakat dalam memperkukuhkan agenda kelestarian negara,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments