Dasar MBI boleh diimplementasi di peringkat Pusat


A RAHMAN HARUN

KOTA BHARU: Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diimplementasikan di Kelantan sejak tahun 1990 boleh diketengahkan di peringkat Pusat sekiranya PAS dan Perikatan Nasional (PN) menerajui negara.

Timbalan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr Nurul Akma Mohamed berkata, dasar itu dilaksanakan di Kelantan lebih tiga dekad dianggap mampu menyelesaikan keperluan rakyat.

Selain itu melaksanakan pembangunan yang selari dengan tuntutan Islam.

"Di bawah relevansi sejagat ini, alhamdulillah kita ada ramai pemimpin yang berwibawa dan dasar MBI bukan sahaja sesuai untuk Kelantan, tetapi sesuai untuk peringkat nasional dan antarabangsa.

"Inilah yang sepatutnya digunakan kerajaan sekarang," katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk 'Pemantapan Dasar MBI Negeri Kelantan' pada Seminar Kejayaan Pentadbiran MBI Kelantan di sini hari ini.

Program anjuran Pusat Kajian Strategik itu turut menampilkan kertas kerja 'Kepimpinan Ulama Mencipta Nama' oleh Dr Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail juga dari KIAS dan 'Pemerkasaan Tadbir Urus Patuh Syariah' oleh Dr Mohd Hasnan Ramli dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Selain itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato' Sr Mohd Zamri Ismail membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pembangunan Ekonomi Negeri Menuju Kelantan Sejahtera'.

Terdahulu Dr Nurul Akma mengemukakan lima analisa mengenai faktor utama dasar MBI terus relevan, walaupun dasar itu dijenamakan dengan merakyat MBI dan kini penghayatan MBI.

Selain nilai Islam yang konsisten, dasar MBI terus relevan di mana pelaksanaan sesuai mengikut zaman dan strategi MBI mampu mengharungi cabaran semasa tanpa menggadai prinsip syariah.

Beliau juga berkata, penerimaan rakyat terhadap dasar tersebut sebagai menggambarkan salah satu daripada identiti Kelantan.

Kata beliau kerajaan negeri sejak 35 tahun lalu terus komited merangka aktiviti bagi memperkasakan dasar MBI termasuk dalam kalangan belia dengan menyediakan generasi pelapis bagi mewarisi kepimpinan negeri.

"Pemantapan dasar MBI secara berpanjangan oleh kerajaan negeri menerusi program pembangunan insan dan penyediaan generasi pelapis kepimpinan masa depan.

"Kita lihat pembudayaan ilmu dan pendidikan serta penyaluran maklumat berkaitan isu-isu kepada rakyat sangat penting untuk memastikan MBI terus relevan," katanya.

Post a Comment

0 Comments