![]() |
| YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 24 September – Undang-undang sedia ada yang hanya mendakwa lelaki dalam kes rogol bawah umur atas dasar suka sama suka wajar dipinda agar lebih selari dengan prinsip keadilan Islam, demikian tegas Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.
Beliau berkata, cadangan yang dibangkitkan oleh Ketua Polis Kelantan baru-baru ini supaya peruntukan Seksyen 375 Kanun Keseksaan diteliti semula adalah tepat dan seharusnya dipertimbangkan secara serius oleh pihak Kerajaan Persekutuan.
“Pendedahan bahawa 90 peratus kes rogol bawah umur berlaku atas dasar suka sama suka sebenarnya menunjukkan wujudnya kes zina antara lelaki dewasa dan remaja perempuan di bawah umur. Dari sudut keadilan Islam, kedua-dua pihak yang terlibat dalam zina adalah pesalah, bukan hanya lelaki semata-mata,” katanya.
Menurutnya, undang-undang jenayah Islam secara jelas menetapkan bahawa zina iaitu persetubuhan tanpa ikatan perkahwinan sah adalah jenayah besar dan perbuatan keji. Oleh itu, undang-undang sivil negara wajar digubal semula agar tidak bersifat berat sebelah dalam menetapkan pesalah.
Bagaimanapun, YB Mohd Asri menegaskan bahawa perlindungan terhadap remaja perempuan tetap perlu diberi keutamaan, khususnya dalam kes melibatkan pengantunan seksual (sexual grooming) atau eksploitasi yang boleh mendorong mereka memberi persetujuan tanpa sedar.
“Undang-undang baharu harus menimbang secara adil elemen suka sama suka. Jika berlaku manipulasi, maka ia kekal di bawah kategori rogol. Tetapi jika benar-benar atas dasar rela tanpa paksaan, maka kedua-dua pihak perlu dikenakan hukuman yang setimpal,” jelasnya.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan langkah pencegahan gejala zina dalam kalangan remaja tidak hanya bergantung kepada hukuman, tetapi juga melalui kaunseling, nasihat, hukuman takzir dan pendekatan restoratif.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan, melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah pun memperuntukkan kesalahan zina, mukadimah zina, ikhtilat dan khalwat dengan hukuman minima selaras dengan bidang kuasa terhad menurut Akta Mahkamah Syariah 1965.
“Penguatkuasaan undang-undang Syariah, diiringi dengan pendidikan berterusan oleh pihak berwajib, mesti dipandang sebagai usaha menyeluruh bagi membendung gejala sosial remaja,” hurainya, ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan agar segera merangka pindaan undang-undang yang lebih berkesan dan adil, demi menangani isu seks suka sama suka dalam kalangan remaja yang semakin membimbangkan.

0 Comments