KOTA BHARU, 24 Sept – Pulau Kundur kini menjadi tumpuan pembangunan luar bandar Kelantan selepas dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dimajukan. Susulan pembentangan mengenai Pulau Kundur dalam Mesyuarat Exco Luar Bandar (MEXCLUB) oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin baru-baru ini, lawatan kerja Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ke pulau itu menjadi penanda aras kerjasama strategik untuk meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Terletak di daerah Badang, Jajahan Kota Bharu, Pulau Kundur dikelilingi Sungai Che Latif dan Sungai Badang, selain kaya dengan keaslian budaya serta keindahan alam semula jadi yang menawan. Nama pulau dipercayai diambil daripada tumbuhan “kundur” yang tumbuh subur di kawasan ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin, fokus utama pembangunan adalah mempertingkatkan infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan penduduk. “Pulau Kundur bukan sahaja cantik dan kaya budaya, malah berpotensi memberi manfaat langsung kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Pulau Kundur kini menjadi pusat ekonomi penduduk melalui aktiviti tradisional seperti menyadap tuak nipah, menangkap ketam dan lokan, penternakan ikan sangkar serta penghasilan keropok. Laluan sungai yang mengelilingi pulau menjadi habitat penting hidupan paya bakau termasuk monyet, memerang, biawak dan pelbagai spesis burung, menjadikannya lokasi ideal untuk ekopelancongan dan pengalaman kehidupan kampung yang asli. Pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Pisang, Pulau Panjang dan Pulau Senyap turut menambah tarikan kawasan ini.
Dengan pembangunan bersepadu, Pulau Kundur dijangka mampu meningkatkan pendapatan penduduk, membuka peluang pekerjaan dan mempromosikan Kelantan sebagai negeri yang mengekalkan keaslian budaya sambil bergerak ke arah pembangunan mampan. Dato’ Dr Izani turut merakamkan penghargaan kepada KKDW atas sokongan berterusan, selain menyeru semua pihak bersama-sama menjadikan Pulau Kundur sebahagian daripada agenda pembangunan negeri.
0 Comments