Dr Marzuk santuni mangsa bencana di Sabah


TANJUNG KERAMAT, 23 Sept – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, YB Dr. Ahmad Marzuk Shaary tampil menyantuni mangsa bencana dalam lawatan kebajikan ke beberapa lokasi terjejas di kawasan ini, semalam.

Lawatan berkenaan turut disertai Ahli Parlimen Jerlun, YB Abdul Ghani bin Ahmad; Ahli Parlimen Arau, YB Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Maran, YB Ismail Abdul Muttalib; serta Dr Afifi Saif yang menyelaras gerakan kebajikan tersebut. Kehadiran rombongan ini membolehkan bantuan disalurkan secara lebih teratur dan menyeluruh kepada penduduk yang memerlukan.

Antara lokasi yang diziarahi ialah Madrasah Tahfiz Nurul Furqan, Kampung Sri Pandan, yang mengalami kerosakan akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini sehingga sebahagian bangunannya tidak dapat digunakan. Rombongan menyalurkan bakul makanan dan sumbangan kewangan bagi meringankan beban pengurusan madrasah serta pelajar.


Selain itu, kunjungan turut diadakan ke rumah En. Haslan di Kampung Muhibbah yang terjejas akibat banjir. Beliau menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan pemimpin yang turun padang memberi sokongan moral selain bantuan berbentuk barangan keperluan.

Menurut Ahmad Marzuk, usaha membantu mangsa bencana bukan sahaja soal bantuan material, tetapi lebih penting adalah menzahirkan semangat kebersamaan.

“Apabila masyarakat melihat pemimpin hadir bersama mereka, ia memberi kekuatan dan keyakinan bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi ujian,” katanya.

Lawatan ini sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan beliau dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, di samping meneguhkan solidariti antara masyarakat dan kepimpinan.

Post a Comment

0 Comments