Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Kerajaan Negeri Kelantan
Kredit foto: Unit Media Kerajaan Negeri Kelantan
KOTA DARULNAIM, 24 September – Gua Musang, jajahan terbesar di Kelantan wajar dijadikan simbol kebangkitan ekonomi baharu negeri ini dengan kekayaan sumber semula jadi, kedudukan strategik, sokongan infrastruktur serta pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal menegaskan demikian ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jajahan Gua Musang, Khamis lalu.
“Gua Musang bukan hanya jajahan terbesar di Kelantan, tetapi wajar menjadi simbol kebangkitan ekonomi baharu negeri ini dengan kekayaan sumber semula jadi, kedudukan strategik, sokongan infrastruktur dan pelaksanaan projek berimpak tinggi,” jelasnya ketikanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya lagi, kelebihan geografi dan sumber yang dimiliki Gua Musang perlu diterjemahkan dalam bentuk perancangan strategik, dengan kerjasama erat antara semua jabatan serta agensi negeri.
Lawatan kerja dimulakan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang untuk mendengar taklimat pembangunan oleh Ketua Jajahan Gua Musang Roshdi Ismail.
Taklimat tersebut merangkumi status projek semasa, cabaran pelaksanaan serta cadangan penambahbaikan.
Dalam amanat kepada barisan pentadbir jajahan, Dato' SUK menekankan kepentingan tadbir urus yang cekap, penyampaian perkhidmatan berkesan dan pendekatan inklusif berintegriti bagi memastikan rakyat benar-benar merasai manfaat pembangunan.
“Jabatan dan agensi perlu proaktif merangka pelan tindakan bersepadu dan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan yang ada di Gua Musang,” tegasnya.
Lawatan diteruskan dengan tinjauan ke beberapa tapak projek berpotensi, antaranya ialah cadangan tapak Arkeologi 1, 2 dan 3, cadangan Projek Gerbang Perdana, Taman Sri Cindai, Cadangan medan selera dan hotel.
Termasuk juga cadangan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan tapak DXN serta Madinatul Athasi (Bandar Perabot).
Selain itu, beliau turut meninjau Tapak Projek Hidroelektrik Nenggiri, menerima taklimat terkini daripada pihak TNB Genco sebelum melawat empangan utama yang menjadi antara komponen penting agenda tenaga boleh diperbaharui negeri.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan kekal komited memperkukuh pembangunan di peringkat akar umbi dengan memastikan setiap projek dilaksanakan secara berkesan, mampan dan memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat serta kelangsungan generasi akan datang.





0 Comments