Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 23 September– Kerajaan Negeri Kelantan melalui Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) akan mengadakan Kelantan Future Leaders Convention 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 27 September ini dengan sasaran penyertaan seramai 450 belia dari seluruh negeri.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata konvensyen tersebut bertemakan “Melahirkan Negarawan Al-Qawiyy Al-Amin” yang menjadi titik permulaan dalam melahirkan bakat kepimpinan masa hadapan yang berintegriti dan memiliki sifat Al-Qawiyyul Amin.
Menurut YB Zamakhshari, antara pengisian utama adalah ucaptama “Cabaran dalam Kepimpinan Semasa dalam Melahirkan Pemimpin Masa Hadapan Kelantan” yang akan disampaikan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan Ab Aziz Yunus.
"Dengan kepakaran dan pengalaman beliau meneraju GLC negeri akan menceritakan tentang cabaran yang telah dihadapi beliau serta harapan kepada anak muda Kelantan," katanya menerusi satu hantaran media sosial milik beliau, semalam.
Selain itu, belia Kelantan akan dilibatkan secara langsung melalui forum “Kelantan Futures State 2033: Harapan Anak Muda”.
“Barisan panel forum ini adalah Timbalan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) Mohd Firdaus Mohamed Nawi, Pegawai Pengurusan Projek MAIK Ahmad Syazwan Muhammad Hasan dan tokoh yang tidak asing lagi dengan anak muda iaitu Pegawai Utama AmanahRaya Academy Nik Akmal Othman. Forum ini menjadi ruang interaktif untuk membincangkan aspirasi anak muda terhadap masa depan negeri,“ jelasnya.
Tambah beliau, belia Kelantan juga akan disajikan dengan Pentas Inspirasi Belia Kelantan (KEL TALKS) yang bakal menghimpunkan ikon dari pelbagai bidang yang memberi inspirasi melalui pengalaman dan kepakaran mereka.
Antara yang hadir ialah Pensyarah Patologi Kimia Dr. Tengku Ahmad Damitri, Pegawai Latihan Yayasan Amanah Tok Kenali Ustaz Syed Ahmad Ridwan, Pengasas dan CEO Hannan Medispa Sdn Bhd Prof. Adjung Dr. Mohd Hannan Yusof.
Selain itu pentas berkenaan juga bakal menampilkan pempengaruh media sosial yang juga pengasas Senok Perut Izmer Mustapha atau lebih dikenali dengan Abe La serta Peguamcara dan Peguambela Ayuni Zukri.
Kemuncak untuk program itu adalah pelancaran Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) dan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.





0 Comments