Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 11 September – Kelantan menyatakan komitmen penuh untuk menyertai Goodwill Games 2025, kejohanan sukan antarabangsa rentas sempadan yang mempertemukan atlet dari negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dengan wilayah selatan Thailand.
Acara anjuran Pejabat Pelancongan dan Sukan Wilayah Narathiwat itu menghimpunkan penyertaan dari Narathiwat, Yala, Patani, Satun, Kelantan dan Terengganu, sekali gus menjadikan sukan sebagai wahana diplomasi serta pemangkin perpaduan serantau.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhammad berkata, penglibatan Kelantan adalah simbol keutuhan semangat kesukanan yang melangkaui batas geografi.
“Penganjuran Goodwill Games 2025 bukan sahaja mengangkat agenda pembangunan sukan, tetapi juga memperkukuh hubungan dua hala, silaturahim dan kerjasama serantau antara negeri dan wilayah jiran,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.
Goodwill Games 2025 dijadualkan berlangsung di Sungai Golok, Thailand, dengan menampilkan pelbagai acara sukan merakyat dan kompetitif termasuk bola sepak, Muay Thai, bola sepak Alstar, petanque, bola tampar, pencak silat, memanah, sepak takraw serta sukan tradisional lain.
YB Zamakhshari berkata, penyertaan Kelantan selaras dengan dasar negeri untuk melahirkan belia yang sihat, aktif dan berdaya saing.
“Kami berharap atlet-atlet serta pasukan yang bertanding akan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, selain membuka ruang kerjasama lebih erat dalam bidang pelancongan, kebudayaan dan ekonomi serantau,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif tersebut harus menjadi platform berterusan untuk merapatkan hubungan diplomatik, selain mengukuhkan jambatan persahabatan antara Kelantan, Terengganu dan wilayah selatan Thailand.
0 Comments