Kelantan tuntut hak, pembangunan seimbang dalam RMK-13 – YB Senator Wan Martina

Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 11 September – Isu pembangunan seimbang untuk Kelantan kembali mendapat perhatian di Parlimen apabila Ahli Dewan Negara, Senator Wan Martina Wan Yusoff, menegaskan bahawa negeri itu tidak boleh terus dipinggirkan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menurutnya, perbahasan Mesyuarat Kedua Dewan Negara pada Rabu, memberi ruang penting untuk menzahirkan keperluan asas rakyat Kelantan, termasuk hak royalti petroleum, projek Central Spine Road (CSR) dengan kemudahan rehat dan rawat, pembinaan rumah mampu milik, peluang TVET lebih inklusif, serta cadangan sambungan jajaran ECRL hingga ke Rantau Panjang.

“Kelantan mesti dilihat sebagai sebahagian daripada nadi pembangunan negara. Tanpa perhatian khusus, negeri ini berisiko terus ketinggalan daripada arus pembangunan nasional,” tegasnya.

Wan Martina turut menekankan keperluan mempercepatkan pembangunan Pelabuhan Tok Bali sebagai hab maritim strategik, di samping memperkukuh peranan Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah di kawasan sempadan.

Dalam sesi pertanyaan lisan, beliau membangkitkan dua isu mendesak: perkembangan Rang Undang-Undang Penjagaan dan Perlindungan Warga Emas – penting menjelang status Malaysia sebagai negara menua pada 2030, serta kelemahan infrastruktur keselamatan di sempadan Kelantan–Thailand, khususnya ketiadaan mesin pengimbas kargo dan kenderaan di laluan rasmi seperti Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.

Selain itu, isu buli di sekolah dan institusi pertahanan turut disentuh. Wan Martina menegaskan tragedi yang meragut nyawa pelajar harus menjadi isyarat jelas bahawa undang-undang lebih tegas serta pendidikan moral yang menyeluruh perlu digerakkan segera.

Dalam persidangan tersebut, beliau juga menyertai perbahasan beberapa rang undang-undang penting termasuk RUU Fi (Feri Pengkalan Kubor) 2025, RUU Kredit Pengguna 2025, RUU Perolehan Kerajaan 2025, RUU Pekerja Gig 2025 dan beberapa pindaan undang-undang lain.

YB Senator Wan Martina turut berharap suara yang dibawa ke Dewan Negara akan membuahkan hasil dalam bentuk dasar dan tindakan nyata, khususnya bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi legislatif tertinggi negara.

“Kelantan perlu mendapat peluang ekonomi, akses kepada infrastruktur moden, pendidikan berkualiti, dan kehidupan rakyat yang lebih sejahtera. Itu tanggungjawab kita dalam RMK-13,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Post a Comment

0 Comments