![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 3 September – Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa Gu Penerangan mesti berperanan proaktif menyampaikan pencapaian dan dasar pembangunan Kerajaan Negeri Kelantan kepada rakyat secara berterusan.
Menurutnya, banyak kejayaan Kelantan mendahului negeri lain, namun kurang disedari masyarakat kerana maklumat tidak sampai dengan jelas.
Jelasnya lagi, Gu Penerangan lantikan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) terdiri daripada Penghulu Mukim, Penghulu Tanpa Mukim Seranta dan pegawai teknologi maklumat di Pusat Khidmat DUN. Maka, peranan mereka amat penting sebagai jurucakap di akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui pencapaian negeri.
“Gu Penerangan mesti wujudkan rasa kasih sayang rakyat kepada Kerajaan Negeri dengan memberi penerangan mengenai hak-hak negeri serta bidang kuasa negeri dan persekutuan. Jadi, Gu Penerangan perlu menjadi penyampai maklumat yang tepat dan berkesan sekali tongkat serandang kerajaan negeri,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah dan Amanat Gu Penerangan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan Politik Matang dan Sejahtera (PMBI) membolehkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan terus diperkukuh demi manfaat rakyat.
“Menteri Besar sentiasa bertemu Perdana Menteri atas dasar federalisme. Atas dasar PMBI yang diamalkan, banyak permintaan kita diluluskan kerajaan Persekutuan untuk kesejahteraan rakyat Kelantan,” ujarnya.
0 Comments