Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Majlis Daerah Tanah Merah
Kredit foto: Unit Media Majlis Daerah Tanah Merah
TANAH MERAH, 24 September – Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) melaksanakan proses pemusnahan rokok elektronik (vape) yang dirampas hasil operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan pentadbirannya, semalam.
Proses tersebut disaksikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Panau,YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood bersama Ahli-Ahli Majlis MDTM, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Setiausaha serta pegawai-pegawai MDTM.
Yang Dipertua MDTM Wan Ahmad Suwaidi Zainal Abidin berkata larangan penjualan rokok elektronik di Kelantan telah dikuatkuasakan sejak 2015, namun masih terdapat pihak yang cuba melanggar peraturan tersebut.
“MDTM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi. Peniaga diminta menghentikan segera aktiviti penjualan cecair vape dan peranti rokok elektronik. Operasi penguatkuasaan terhadap larangan ini akan dilaksanakan secara berterusan di daerah Tanah Merah,” tegasnya menerusi satu kenyataan di laman rasmi MDTM.
Beliau turut mengingatkan masyarakat serta pemilik premis agar sentiasa mematuhi undang-undang negeri demi kesejahteraan bersama.
Sehubungan itu, Dato' Abdul Fattah memuji tindakan MDTM tersebut yang melaksanakan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan.
"Inisiatif ini adalah langkah yang baik yang mendidik masyarakat untuk masa depan yang terurus dan lebih baik ke arah hidup sejahtera " katanya ketika dihubungi, hari ini.



0 Comments