Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Wan Ahmad Fayhsal
Kredit foto: Media YB Wan Ahmad Fayhsal
MACHANG, 24 September – Jalan Persekutuan FT008 di sini yang ditutup sejak 14 September lalu akibat mendapan, dijangka dibuka semula kepada semua kenderaan pada 27 September ini selepas kerja pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey) siap sepenuhnya.
Ahli Parlimen Machang YB Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pemasangan jambatan sepanjang 80 kaki model Mabey Compact 200 itu dilaksanakan bermula 18 hingga 23 September, sebelum disusuli kerja penyelarasan jalan pendekatan dari 24 hingga 26 September.
“Sekiranya cuaca mengizinkan, laluan ini boleh digunakan semula oleh orang awam pada 27 September (Sabtu),” katanya dalam satu hantaran di media sosial, semalam.
Beliau berkata, projek tersebut melibatkan 31 anggota teknikal serta jentera sokongan seperti kren, forklift, loader, shovel dan penjana elektrik.
Kerja-kerja berkenaan dilaksanakan secara bersepadu oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Pasukan Bailey JKR Machang, JKR Ulu Kinta (Perak) serta Cawangan Kerja Mekanikal JKR Kelantan.
YB Wan Fayhsal yang meninjau tapak kerja pada Isnin turut menyeru orang ramai agar mendoakan kelancaran projek itu supaya dapat disiapkan mengikut jadual, sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas dedikasi dan komitmen memastikan laluan utama itu dapat digunakan kembali oleh penduduk Machang serta pengguna dari luar daerah.


0 Comments