Masyarakat disaran dalami ilmu 'celik kewangan'

 

SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil langkah  memastikan masyarakat celik kewangan dengan memfokus pelajar di pusat pengajian tinggi yang akan menamatkan pengajian.

Pengarah Wilayah Timur KWSP, Rahmat Ali berkata, golongan terbabit perlu membuat persiapan sebelum menjejaki alam pekerjaan.

Selain itu golongan yang bekerja sendiri termasuk petani, nelayan dan sebagainya juga perlu diberi perhatian.

“Rakyat Kelantan disaran mendalami ilmu 'celik kewangan' sebagai jaminan masa hadapan mereka.

“Ini kerana masyarakat di negeri ini dan Sabah antara negeri yang kurang memahami berhubung perkara itu, berdasar bancian pada tahun 2022 hanya mencatat sekitar 16 peratus celik kewangan (i-Saraan),” katanya selepas Majlis Libat Urus Bersama Media di sini semalam.

Sedangan Kuala Lumpur sekitar 41 peratus ke atas telah mencarum.

Menurutnya juga berdasar kajian yang dibuat ramai yang mempunyai simpanan, namun menyimpan di tempat yang kurang produktif termasuk di rumah atau akaun simpanan biasa.

Kata beliau keadaan ini menyebabkan kadar pulangan rendah, sedangkan mereka berpotensi memperoleh manfaat lebih besar.

Beliau juga berkata, bancian dibuat berdasar soalan mengenai tahap kefahaman kewangan termasuk cara menyimpan keuntungan hasil perniagaan.

"Jika mereka celik kewangan sudah tentu tahu di mana sumber yang memberi pulangan tinggi seperti Tabung Haji, KWSP atau sebagainya.

“Kami memerlukan bantuan agensi kerajaan, media, pejabat wakil-wakil rakyat untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau juga berkata, i-Saraan inisiatif mencarum di bawah caruman sukarela yang diperkenalkan KWSP.

“Mereka yang bekerja sendiri seperti pekerja gig tanpa pendapatan tetap menerima insentif khas daripada kerajaan bagi tujuan persaraan dengan tertakluk kepada syarat ditetapkan,” ujarnya.

 

Post a Comment

0 Comments