Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 14 September – Kota Bharu Half Marathon (KBHM) melakar sejarah tersendiri apabila secara rasmi diterima sebagai ahli Association of International Marathons and Distance Races (AIMS), sekali gus menjadikannya antara 11 acara larian bertaraf antarabangsa di Malaysia.
Pengiktirafan berprestij itu menyaksikan laluan 21km dan 10km KBHM diukur mengikut piawaian World Athletics, membolehkan catatan masa peserta diiktiraf sebagai kelayakan ke kejohanan luar negara.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad menyifatkan pencapaian tersebut bukan sahaja melonjakkan reputasi KBHM, bahkan mengangkat nama Kelantan di pentas dunia.
“Penganjuran tahun ini membawa impak berganda. Bukan sahaja dari segi sukan, malah sektor pelancongan dan ekonomi negeri turut menerima manfaat apabila hotel sekitar Kota Bharu dipenuhi peserta dari pelbagai negeri dan ramai yang membeli produk tempatan serta menikmati sajian tradisi Kelantan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.
Edisi kali ini mengetengahkan tema merah, putih dan hitam, di samping memperkenalkan kempen “Indahnya Kelantan-Runcation” yang menggabungkan aktiviti larian dengan percutian.
Beliau menegaskan, penganjuran KBHM selari dengan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) yang menitikberatkan kesihatan menyeluruh, serta Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang mengangkat aspek penjagaan diri, kelestarian alam dan keterangkuman sosial.
YB Zamakhshari turut merakam penghargaan kepada Yayasan KB Care selaku penganjur utama bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Urus Setia Belia dan Sukan Negeri (U-BeS), agensi keselamatan, NGO, sukarelawan, media dan penaja yang memastikan kelancaran acara.
Kerajaan negeri, katanya, komited untuk menjadikan KBHM sebagai acara tahunan tetap dengan penyertaan lebih meluas daripada komuniti belia, penggemar larian dan masyarakat setempat.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Untuk rekod, KBHM 2025 menarik penyertaan 3,142 peserta, peningkatan ketara berbanding 2,055 peserta tahun lalu.




0 Comments