Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 14 September – Kelantan terus menyemarakkan tradisi keilmuan apabila para mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir diraikan dalam Majlis Tautan Mahabbah MAQAZ di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, pada Jumaat.
Program bertemakan “Tarbiah Al-Azhar: Menyuburkan Jiwa, Mengeratkan Ukhuwah” itu menghimpunkan mahasiswa dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Darul Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta KIAS, dengan semangat ukhuwah sebagai teras kebersamaan.
![]() |
| YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan |
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penghantaran pelajar ke Shoubra bagi sesi 2025/2026 adalah kesinambungan usaha melahirkan generasi ulama dan qari yang mampu menjadi aset berharga untuk agama, masyarakat dan negeri.
“Semoga perjalanan ini dipermudahkan Allah SWT, diberi kekuatan untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman, serta kembali kelak sebagai aset ummah yang bermanfaat,” katanya.
Beliau turut menegaskan majlis sebegini berperanan menyuntik motivasi dan menzahirkan kecintaan mahasiswa terhadap ilmu, sekali gus memperkukuh ikatan ukhuwah yang menjadi tunjang pendidikan berteraskan Al-Azhar.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Alumni Maahad Shoubra (PERKEMAS) dengan kerjasama Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra, Darul Quran MAIK, KIAS serta beberapa institusi lain.


0 Comments