Kelantan biayai naik taraf padang bola, realisasikan setiap DUN satu padang bola sepak


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 7 September – Kerajaan Negeri Kelantan mengambil langkah proaktif dalam memperkasa pembangunan sukan akar umbi apabila membiayai kos sebanyak RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Negeri (DUN) untuk menaik taraf padang bola sepak mengikut piawaian yang ditetapkan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata, kos tersebut akan digunakan bagi menaik taraf padang sedia, termasuk kerja-kerja menambun dan meratakan tanah, pembinaan pagar di sekeliling padang, pembinaan astaka serta bangku, pemasangan tiang gol dan penghadang di belakang gol.

“Kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos menaik taraf padang bola di setiap DUN, dan ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan setiap DUN mempunyai satu padang bola yang berkualiti dan menepati piawaian,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, pada Sabtu.

Tambah beliau, kebanyakan DUN di Kelantan telah pun mempunyai padang bola, dan fokus kerajaan kini adalah kepada menaik taraf fasiliti sedia ada agar dapat dimanfaatkan secara optimum oleh masyarakat setempat.


“Bagi DUN yang masih belum mempunyai padang bola yang diselia kerajaan, saya telah meminta wakil rakyat DUN masing-masing untuk mengenal pasti tanah yang sesuai bagi pembangunan padang bola baharu,” katanya lagi.

Setakat ini, kerja-kerja pembinaan dan naik taraf padang sedang berjalan di dua lokasi iaitu Gual Ipoh dan Kuala Balah, selepas peruntukan diluluskan dan proses pembinaan dimulakan.

Dalam masa yang sama, YB Zamakhshari turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk merealisasikan hasrat “Satu DUN, Satu Padang Bola Mengikut Piawaian”, sebagai salah satu inisiatif memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Terdahulu, beliau telah merasmikan Padang Bola Apam Putra yang terletak di Kampung Repek, yang telah dinaik taraf mengikut spesifikasi padang bola sepak sebenar.

“Walaupun fasiliti ini baru di peringkat pertama, padang ini sudah boleh digunakan oleh orang awam dan pastinya memberi ruang kepada penduduk setempat, khususnya di Apam Putra, untuk menjalankan aktiviti sukan dan riadah,” ujarnya.


Post a Comment

0 Comments