Ibis Styles Kota Bharu raih 'Green Key Global'


SALMAH HUSAIN

KOTA BHARU: Ibis Styles Kota Bharu, sebuah hotel bertaraf tiga bintang, menjadi hotel pertama di negeri ini menerima pensijilan antarabangsa Green Key Global.

Pengiktirafan berprestij itu dianugerah kepada hotel berkenaan atas komitmennya melaksanakan amalan kelestarian dalam industri hospitaliti.

Pensijilan Green Key dikendalikan  Foundation for Environmental Education (FEE) yang berpangkalan di Denmark dan diiktiraf di lebih 60 negara. Antara kriterianya pengurusan tenaga, air, sisa makanan serta pelaksanaan amalan mesra alam secara menyeluruh.

Pengurus Besar Ibis Styles Kota Bharu, Zac Harun berkata, pengiktirafan tersebut memberi makna besar kerana membuktikan hotel itu serius dalam menjaga kelestarian alam sekitar.


“Ia satu pengiktirafan antarabangsa yang mengangkat amalan hijau hotel kami setanding dengan standard global. Ia juga membuktikan kelestarian bukan sekadar dasar di atas kertas, tetapi diterapkan dalam operasi harian,” katanya di sini. 

Hotel itu mempunyai 130 bilik, empat dewan serba guna, restoran, kafe serta kemudahan moden lain seperti kolam renang dan pusat kecergasan.

Antara inisiatif utamanya pemasangan panel solar di tingkat 20, penggunaan lampu LED sehingga 99 peratus di seluruh premis, serta sistem tadahan air hujan yang digunakan semula bagi pembersihan dan penyiraman landskap.

“Kami turut menguruskan sisa makanan dari bufet restoran dan hanya menggunakan bahan pencuci mesra alam. Langkah-langkah ini dilaksanakan demi keseimbangan alam sekitar tanpa menjejaskan keselesaan tetamu,” jelasnya.

Menurut beliau tetamu turut digalakkan menyertai inisiatif hijau dengan pilihan untuk tidak menukar tuala dan cadar setiap hari, terutama bagi penginapan jangka panjang.

“Kalau mereka pilih untuk tukar tuala dua atau tiga hari sekali sahaja, itu sudah membantu usaha kelestarian. Kami mahu tetamu sama-sama terlibat, bukan sekadar menikmati perkhidmatan,” katanya.

Hotel tersebut turut menyediakan basikal sewa sebagai pilihan mobiliti rendah karbon di sekitar pusat bandar Kota Bharu selain mengutamakan penggunaan bahan tempatan dalam penyediaan makanan bagi menyokong ekonomi setempat.

Ibis Styles Kota Bharu bukan sahaja muncul sebagai destinasi inap moden dan selesa, malah menjadi contoh terbaik amalan hijau boleh dilaksanakan secara konsisten, seiring dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) negara.

Post a Comment

0 Comments