Penjawat awam perlu amalkan sunah Rasulullah SAW ketika jalankan tugas – YDP MDB


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam

BACHOK, 23 September – Penjawat awam diseru agar mengamalkan sunah Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan, termasuk ketika menjalankan tugasan harian, bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan bersifat adil, berintegriti dan berpaksikan nilai-nilai Islam.

Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB), Mohd Zaki Yusof berkata, penjawat awam memainkan peranan penting dalam mencerminkan akhlak mulia Rasulullah SAW dalam setiap tindakan dan keputusan mereka.

“Rasulullah SAW merupakan contoh pemimpin terbaik yang adil, amanah, penyayang dan sentiasa memikirkan kebajikan umat. Maka, penjawat awam perlu mencontohinya dalam melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan keikhlasan demi kesejahteraan rakyat.

"Baginda SAW juga menegaskan bahawa kejujuran adalah asas kepada kepercayaan. Justeru, sifat ini perlu dijadikan asas dalam budaya kerja sektor awam,” katanya ketika berucap dalam Program Hubbun Nabi peringkat Jajahan Bachok, di Dataran Perahu, Pantai Irama, di sini, pada Isnin.



Mohd Zaki yang juga Ketua Jajahan Bachok turut menekankan bahawa sifat lemah lembut dan prihatin Rasulullah SAW juga harus menjadi contoh dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, penjawat awam perlu melayani rakyat dengan penuh kesabaran, mendengar keluhan mereka serta berusaha menyelesaikan masalah dengan sebaik mungkin.

Mengulas mengenai program Hubbun Nabi, beliau menyifatkan program itu sebagai wadah untuk meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan penjawat awam.

“Melalui perarakan yang diadakan hari ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama dalam mencapai sesuatu matlamat. Penjawat awam perlu saling menyokong dan mengutamakan kepentingan bersama demi kejayaan organisasi dan masyarakat,” jelasnya.

Tambah beliau, program ini bukan sekadar memperingati Rasulullah SAW, tetapi juga sebagai dorongan untuk menjadikan sunah Baginda sebagai panduan hidup.

“Dengan mengamalkan akhlak Rasulullah SAW seperti sikap adil, berhemah, lemah lembut dan prihatin, penjawat awam bukan sahaja akan menjadi cemerlang dalam tugas, tetapi juga mulia di sisi Allah SWT,” ujarnya.

Program Hubbun Nabi turut memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memperbaharui azam dan semangat dalam mencontohi Rasulullah SAW, sekali gus menjadi titik tolak kepada perubahan positif dalam diri, keluarga dan komuniti.

Post a Comment

0 Comments