Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 17 September – Kelab bola sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) mencatat sejarah baharu apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kelab gergasi Uzbekistan, Bunyodkor FC, di Pejabat Stadium Nasional Uzbekistan, Tashkent, pada Isnin lalu.
Majlis tersebut menyaksikan Kelantan TRW diwakili presidennya, Tan Sri Annuar Musa bersama delegasi pengurusan tertinggi kelab.
Kelab bola sepak Kelantan TRW menerusi hantaran di media sosialnya menyatakan, melalui MoU tersebut, kedua-dua kelab akan menjalinkan kerjasama strategik dari aspek pembangunan teknikal, penganjuran perlawanan persahabatan, peminjaman pemain serta pembangunan akademi bola sepak.
"Kerjasama ini juga dilihat sebagai langkah berani dan progresif dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Kelantan TRW, bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga di pentas Asia," menerusi kenyataan kelab media sosial tersebut, pada Selasa.
Untuk rekod, Bunyodkor FC yang kini menduduki tangga keempat Liga Super Uzbekistan bukanlah nama asing dalam bola sepak Asia. Kelab berprestij ini pernah dibimbing legenda dunia seperti Zico dan Luiz Felipe Scolari, sekali gus menjadikannya antara pasukan paling berpengaruh di Asia Tengah.
MoU tersebut dimeterai sejurus selepas Kelantan TRW melakar kejayaan mara ke Suku Akhir Piala FA Malaysia 2025/2026 dengan agregat 3-2 ke atas KL City, sekali gus menandakan tahun cemerlang buat kelab berkenaan.
Peminat bola sepak Kelantan dan tanah air pastinya menantikan hasil positif daripada jalinan strategik ini yang dilihat mampu membawa The Real Warriors ke tahap lebih gah di Malaysia dan Asia.
Kelantan TRW kini menduduki tangga kelima dalam carta Liga Super 2025/2026 setelah melalui empat perlawanan dengan sekali menang, dua seri dan satu kekalahan dan memungut lima mata.
Untuk perlawanan seterusnya, Kelantan TRW akan menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Super yang akan berlangsung pada 20 September ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
0 Comments