Kontinjen Kelantan muncul naib johan keseluruhan KESSUMA 2025


Oleh: Syamimi Manah

LANGKAWI, 17 September – Kontinjen Kelantan muncul naib johan keseluruhan dalam Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-24 Tahun 2025 yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan LADA, Langkawi.

Kejohanan yang berlangsung pada 14 sehingga 17 September itu menghimpunkan atlet sekolah-sekolah menengah agama seluruh Malaysia dengan melibatkan pelbagai acara sukan dipertandingkan seperti ping pong, badminton, bola tampar, sepak takraw, bola sepak dan bola jaring.

Kelantan membawa pulang enam pingat keseluruhan dengan kutipan dua pingat emas dan empat pingat gangsa. Pingat emas diperoleh menerusi acara sepak takraw dan bola tampar lelaki, manakala empat gangsa diraih dalam acara bola sepak dan ping pong kategori lelaki serta badminton dan bola tampar perempuan.


Pengarah Yayasan Islam Kelantan Tuan Haji Zulkifle Ab Rahman, turut hadir bersama kontinjen Kelantan naik ke pentas bagi menerima piala johan bagi acara sepak takraw dan bola tampar lelaki sebagai tanda penghargaan atas kejayaan membanggakan itu.

Majlis penutupan program itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat yang juga turun padang memberi sokongan kepada kontinjen Kelantan sebelum ini, melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian para atlet negeri.


“Saya berkesempatan melawat beberapa lokasi KESSUMA di Langkawi dan menyaksikan perlawanan pasukan Kelantan.

"Alhamdulillah, para pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan mencatat kemenangan membanggakan. Tahniah kepada pasukan dan teruskan momentum ini demi mengharumkan nama negeri Kelantan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, pada Isnin.

Kejohanan KESSUMA Peringkat Kebangsaan merupakan program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama/Yayasan Islam negeri-negeri yang diadakan setiap tahun di seluruh Malaysia mengikut giliran yang ditentukan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Sekolah-sekolah Agama.

Kejayaan kontinjen Kelantan ini menjadi pencetus motivasi untuk terus mengukir kecemerlangan pada edisi akan datang, selain membuktikan pelajar sekolah agama bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya saing dalam arena sukan.



Post a Comment

0 Comments