MUNIF 2025: Lebih sepuluh negara sepakat bincang tindakan praktikal bebaskan Gaza


Oleh: Syamimi Manah

JITRA, 14 Septemper – Lebih sepuluh negara Islam dan NGO antarabangsa berhimpun dalam Muslim Ummah International Forum (MUNIF 2025) dengan satu tekad bersama iaitu membincangkan langkah segera dan praktikal demi membebaskan Gaza serta memperkukuh solidariti global terhadap Palestin.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu yang juga Pengerusi MUNIF 2025 YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa forum berkenaan adalah ruang melahirkan strategi nyata yang boleh digerakkan bersama.

“Alhamdulillah, forum ini bukan sekadar retorik tetapi mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan strategi nyata bagi memperkukuh suara serta gerakan umat Islam. Kehadiran para peserta hari ini memberikan suntikan semangat serta keyakinan bahawa perjuangan ini adalah usaha bersama,” katanya dalam ucapan alu-aluan di Darul Aman Golf Resort, Kedah, hari ini.


Menurutnya, tiga fokus teras MUNIF 2025 ialah menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, NGO dan cendekiawan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik serantau dan antarabangsa.

Di samping membincangkan tindakan segera serta praktikal bagi membebaskan Gaza, Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin daripada penjajahan.

Seterusnya, menjana idea berimpak tinggi dalam bidang kemanusiaan, pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi dan diplomasi rakyat ke rakyat.


Dr. Muhammad Khalil turut mengingatkan peserta tentang firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 dan hadis Rasulullah SAW mengenai kepentingan solidariti sesama umat Islam.

“Mesej al-Quran dan sunnah ini memberi panduan jelas bahawa kita wajib memperkukuh tanggungjawab bersama dalam isu Palestin. Forum ini diharap menjadi pentas penting untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran, seterusnya melahirkan resolusi dan pelan tindakan yang lebih tersusun demi kebaikan ummah dan Islam tercinta,” ujarnya.

MUNIF 2025 menghimpunkan pemimpin gerakan Islam, NGO antarabangsa, tokoh akademik, institusi pendidikan serta media dalam dan luar negara, dan tokoh masyarakat dari Palestin, Turkiye, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei serta beberapa negara lain.

Dr. Muhammad Khalil menjelaskan bahawa kehadiran tersebut menjadi bukti bahawa persaudaraan Islam merentas sempadan bangsa dan negara sebagai solidariti global paling penting dalam isu Palestin pada tahun ini.

Forum anjuran bersama Kerajaan Negeri Kedah dengan sokongan anggota SG4 iaitu Kelantan, Terengganu dan Perlis turut menerima dukungan institusi tempatan, syarikat korporat, dermawan dan tokoh pemimpin berkaliber.

Turut hadir, Speaker DUN Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato' (Dr.) Mohd Amar Abdullah dan Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.



Post a Comment

0 Comments