MBI Kelantan capai usia 35 Tahun, PKS lancar buku kejayaan pentadbiran


Oleh: Asyura Muhamad
Kredit foto: Unit Media Pusat Kajian Strategik (PKS)

KOTA BHARU, 24 September – Kelantan telah lebih tiga dekad ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dan bakal melangkah ke usia 35 tahun pada 21 Oktober depan.

Sempena detik bersejarah itu, Pusat Kajian Strategik (PKS) melancarkan sebuah buku berjudul Kejayaan Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) Negeri Kelantan yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh, hari ini.

Pengarah PKS Dr. Wan Nik Wan Yusoff berkata, buku tersebut mendokumentasikan perkembangan pentadbiran negeri bermula pada tahun 1990 menerusi dasar MBI, sebelum diteruskan dengan fasa Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI) pada 2018 dan kini berada dalam fasa ketiga iaitu Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) sejak 2023.


“Buku ini bukan sahaja merakam sejarah, bahkan menjadi rujukan penting dalam memahami hala tuju pentadbiran negeri yang berteraskan Islam,” katanya ketika berucap pada Seminar Kejayaan MBI Negeri Kelantan di sebuah hotel, di sini.

Seminar yang dihadiri Ahli Dewan Negeri, Penyelia DUN, pengarah jabatan serta wakil daripada agensi itu telah diisi dengan beberapa sesi pembentangan yang mengupas topik-topik yang terkandung dalam buku tersebut.

Antara pembentang yang terlibat dalam menjayakan seminar tersebut ialah Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS) Dr. Nurul Akma Mohamed, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) KIAS Dr. Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) Dr. Hasnan Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Dato' Sr. Zamri Ismail serta Pengurus Kanan Modal Insan dan Pentadbiran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ts. Mohd Norhaizzat Naim Mohd Mazlan.



Post a Comment

0 Comments