PAS Kota Bharu nekad rampas semula Dun Kota Lama


KOTA BHARU: Jentera pilihan raya PAS Kota Bharu diperkemas bagi mencapai misi merampas semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama yang dimenangi Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Yang Dipertua PAS Kota Bharu Shaari Mat Yaman berkata, gerak kerja secara berterusan dilakukan dengan menyantuni rakyat di Dun berkenaan.

“PAS Kota Bharu bertekad merampas semula Dun terbabit pada PRU-16,” katanya pada majlis penyerahan watikah kepada Jentera Pilihan Raya Parlimen Kota Bharu di Dewan Purnama, Berek 12 baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Kota Bharu (JPrP), Datuk Zamri Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri, Muhammad Abdul Muneeb Assyakirin Zakaria.

Sebelum itu taklimat pilihan raya disampaikan Abdul Muneeb.

Dun Kota Lama pada PRU-15 dimenangi Dr Hafidzah Mustakim dengan majoriti tipis 202 undi menewaskan calon Pas, Datuk Zamri Ismail.

Beliau memperolehi 9,691 undi berbanding Zamri - 9,489 undi, manakala Tan Boon Kian dari Parti Rakyat Malaysia (126) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (85 undi).


Shaari yang juga Adun Bunut Payong berkata, jentera pilihan raya perlu mengutamakan pendekatan kempen dan undi secara bersasar bagi meraihkan kemenangan. 

Kata beliau sebelum ini kehadiran ramai dalam ceramah sering dijadikan kayu ukur, namun pendekatan tersebut tidak lagi relevan sepenuhnya sekarang.

“Pendekatan secara maya melalui pelbagai aplikasi, telefon pintar serta media sosial kini menjadi amat penting dan signifikan,” ujarnya.

Sementara itu Zamri berkata, di Kelantan banyak perkara telah dilaksanakan kerajaan negeri, di mana ada setengahnya tidak mampu dilakukan di negeri-negeri lain.

Menurutnya yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Dun Kota Lama, kepentingan membina kekuatan dalaman dalam kalangan ahli asas penting sebelum memperkukuh kekuatan di peringkat cawangan dan kawasan.

Post a Comment

0 Comments