KOTA BHARU: PAS Kelantan menyifatkan penganugerahan Tokoh Istiqamah kepada Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat baru-baru ini sebagai pengiktirafan yang begitu besar.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, PAS Kelantan merakam penghargaan di atas penganugerahan tersebut.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan. Anugerah tersebut dengan mengambil kira jasa, pengorbanan dan kesungguhan beliau dalam perjuangan Islam,” katanya di sini.
Selain itu kata beliau kesetiaan bekas menteri besar (MB) Kelantan bersama PAS yang menjadi contoh teladan kepada seluruh ahli dan generasi pelapis.
“Semoga Allah SWT memberkati umur, mengurniakan kesihatan yang baik dan mengekalkan keizzahan perjuangan Dato’ dalam menegakkan Islam serta membimbing umat ke arah reda-Nya,” ujarnya.
Muktamar PAS kali ke-71 berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut berakhir semalam. Muktamar peringkat dewan-dewan diadakan bermula Khamis lepas.
0 Comments