SALMAH HUSAIN
KOTA BHARU: Peniaga Muslim mendominasi permohonan mendapatkan pengiktirafan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, lebih 400 premis perniagaan di Kelantan berjaya memperolehi SPHM tahun ini, termasuk 50 premis milik bukan Islam.
Katanya perkembangan itu membuktikan kesedaran terhadap kepentingan sijil halal semakin meningkat.
Menurutnya, SPHM turut menarik perhatian peniaga bukan Islam yang melihat halal sebagai jaminan kebersihan, kualiti dan keyakinan pengguna.
“Konsep halal adalah halalan tayyiban, bukan sahaja halal dari sudut syarak tetapi elemen baik, bersih dan suci. Atas faktor tersebut peniaga bukan Islam turut tertarik untuk mendapatkan SPHM bagi meningkatkan keyakinan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan dan Seminar Ekonomi Syariah dan Industri Halal Negeri Kelantan 2025, di sini semalam.
Dua kerta kerja dibentang iaitu Ekonomi Halal dan Impak Kepada Malaysia dan Hal: Tanggungjawab Kerajaan vs Komitmen Industri. Turut diadakan Forum Bicara Halal yang menampil tiga panel.
Mohd Asri juga berkata, penubuhan majlis tersebut diluluskan dalam Mesyuarat Exco pada Mac lalu.
“Kini ia digerakkan bagi menyelaras segala urusan berkaitan halal yang sebelum ini dikendalikan pelbagai pihak secara berasingan.
“Dengan adanya majlis ini, kita dapat memastikan pergerakan industri halal lebih tersusun, seiring dengan Majlis Pembangunan Halal Peringkat Kebangsaan,” ujarnya.
Kata beliau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memuji Kelantan kerana kadar pemilikan SPHM dalam kalangan peniaga Muslim tinggi iaitu melebihi 90 peratus.
Beliau turut mengingatkan semua pemegang SPHM memperbaharui sijil tersebut sebelum tamat tempoh bagi menjaga keyakinan pengguna terhadap produk dan perniagaan mereka.
Katanya lagi, penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri diharap menjadi pemangkin kepada kemajuan industri halal sekaligus menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan pemain industri yang berminat untuk memohon lot di Industri Halal Park Pasir Mas, yang mempunyai 20 lot kosong daripada 50 lot yang disediakan.
"Kawasan itu mempunyai keluasan mencukupi dan sesuai dijadikan tapak pengeluaran serta pemasaran produk halal," katanya.
Beliau juga berkata, rakan strategik dari luar negara termasuk Singapura turut menunjukkan minat, khususnya dalam bidang kosmetik untuk memasarkan produk mereka di Kelantan.
Menurutnya, kemudahan pinjaman dan geran disediakan pihak bank bagi industri kecil dan sederhana (IKS) mampu membantu pengusaha mendapatkan SPHM sekali gus merancakkan lagi ekonomi perniagaan.
“Banyak pihak membantu pengusaha untuk terus maju. Dengan adanya SPHM, keyakinan pengguna dapat dipertingkatkan dan produk yang dihasilkan boleh menembusi pasaran lebih luas,” ujarnya.
0 Comments