SALMAH MAT HUSAIN
PASIR PUTEH: Rakyat Kelantan kehilangan seorang lagenda dikir barat terkenal apabila Tuan Kob Raja Saring, 69 meninggal dunia 1 September lalu dikatakan akibat sesak nafas.
Arwah meninggal dunia jam 6 pagi di rumahnya di Kampung Pintu Pupoh dekat sini. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh anak.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ustaz Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, sebahagian besar anak-anak arwah mewarisi bakat seni peninggalannya.
Katanya, dunia seni warisan di Kelantan kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa dalam usaha mengangkat martabat dikir barat sejak era 1980-an.
“Allahyarham dikenali sebagai seorang pendikir yang lantang, bijak berpantun serta mampu memikat khalayak dengan persembahan penuh nasihat, sindiran beradab dan hiburan.
“Kehebatannya bukan sahaja dikenali di Kelantan, bahkan sering diundang ke negeri-negeri lain membuat persembahan,” katanya selepas menziarahi keluarga terbabit semalam.
Hadir sama Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri, Mahmud Muzakkir dan Pemuda PAS Pasir Puteh.
Firdaus juga berkata, Allahyarham merupakan sebagai guru dan rujukan generasi muda dalam bidang dikir barat.
“Bakat serta gaya penyampaiannya sering dijadikan contoh pendikir baharu yang berminat menguasai seni tradisi tersebut,” ujarnya.
0 Comments