Oleh: Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 17 September – Tujuh pemimpin Kelantan muncul sebagai blok dominan dalam senarai 18 Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat bagi penggal 2025–2027, sekali gus mencerminkan pengaruh negeri itu dalam hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ahmad Fadhli Shaari muncul calon paling popular apabila meraih undi tertinggi sebanyak 1,096 undi dalam pemilihan yang diumumkan pada Selasa.
Senarai berkenaan turut memperlihatkan kemunculan muka baharu, iaitu Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi, di samping kemunculan semula YB Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang kembali menghiasi barisan AJK Pusat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud pula berjaya mengekalkan posisinya bersama timbalannya, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Turut tersenarai ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohamad Yusof dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary, yang melengkapkan kelompok tokoh Kelantan dalam saf kepimpinan baharu.
Gabungan tersebut menampilkan keseimbangan antara ulama, profesional serta wakil wanita, yang dilihat mampu memperkukuh strategi PAS sebagai parti tunjang blok pembangkang dalam menghadapi PRU16.
0 Comments