Oleh: Asri Hamat
TUMPAT, 22 September – Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Padang Kemahkotaan Pantai Ndo, di sini, semalam.
Pada majlis itu, YTM Tengku Mahkota Kelantan turut berkenan mengurniakan sijil penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat yang aktif menjayakan usaha pemeliharaan hutan paya laut negara, selain menanam sepohon pokok sebagai simbolik komitmen terhadap pemuliharaan ekosistem pesisir pantai.
Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud bersama timbalannya, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean al-Haj Tengku Feissal diringi Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Dr Ching Thoo a/l Kim dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Dato’ Zahari Ibrahim.
Menurut kenyataan media NRES, usaha memelihara dan memulihara hutan paya laut serta kawasan pesisir pantai terus diperkasa secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai pihak sejak Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Sesuai di pesisiran pantai dilancarkan pada 2005, susulan tragedi tsunami.
“Sehingga September 2025, lebih sembilan juta pokok telah ditanam melibatkan keluasan 3,820 hektar di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, lebih 120 kajian penyelidikan telah dijalankan sebagai rujukan utama, dengan penglibatan aktif 13 NGO dan komuniti setempat. Inisiatif ini bukan sahaja mengekalkan kelestarian alam, malah membuka peluang ekonomi melalui perikanan, industri arang kayu, eko-pelancongan dan penghasilan produk berasaskan hutan paya laut.
Antara kejayaan program termasuklah penanaman pokok di Delta Kelantan, Pantai Senok yang kini menjadi destinasi eko-pelancongan popular, industri arang kayu di Larut Matang, Perak, pusat pembelajaran dan penyelidikan di Kuala Selangor serta pembangunan ekonomi baharu di Pulau Ketam, Perlis.
Di Sarawak, tiga kawasan telah digazetkan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya dengan impak ekonomi melebihi RM3 juta setahun, manakala di Sabah, kawasan penanaman sejak 2006 menjadi sumber utama makanan laut bagi komuniti tempatan.
Sambutan kali ini berlangsung selama dua hari, bermula 20 hingga 21 September, bersekali dengan Karnival Kebangsaan Perhutanan Sosial dan Hari International Coastal Cleanup (ICC), dengan tema “Ekosistem Hutan Paya Laut dan Komuniti”.
Untuk rekod, Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa disambut pada setiap 26 Julai seperti yang diisytiharkan UNESCO pada Persidangan Sesi Ke-38, 6 November 2016 di Paris.
0 Comments