KFLI lahirkan generasi pemimpin muda berjati diri, berwawasan – YB Zamakhshari


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 22 September – Pembinaan modul yang mantap dalam Program Kelantan Future Leaders Institut (KFLI) disifatkan memenuhi keperluan teknikal kerana diyakini mampu membentuk jati diri, daya kepimpinan serta keupayaan anak muda untuk tampil sebagai pemimpin masyarakat dan negeri pada masa depan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata KFLI dilihat sebagai wadah utama dalam pembangunan kepimpinan belia di Kelantan yang dirangka secara sistematik untuk melahirkan generasi berintegriti, berwawasan dan celik isu semasa.

“Saya yakin, dengan kerangka modul yang kukuh, KFLI akan melahirkan generasi pemimpin muda yang bukan sahaja celik isu semasa, tetapi turut memiliki nilai integriti, kecekapan dan wawasan yang jelas untuk membawa Kelantan ke arah negeri yang lebih Sejahtera,” katanya menerusi hantaran di media sosial, semalam.


Menurutnya, modul KFLI bakal menjadi panduan rasmi dalam melatih anak muda mengikut peringkat umur dan fasa kepimpinan bermula di sekolah, seterusnya ke peringkat mahasiswa dan akhirnya ke tahap kepimpinan strategik di peringkat negeri serta negara.

Lebih signifikan, modul itu turut dirangka agar sentiasa selari dengan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK) dan dokumen hala tuju Kelantan Sejahtera 2033, menjadikan KFLI sebagai tonggak pembinaan kepimpinan belia bersepadu.

Turut hadir pada Bengkel Pembangunan Modul dan Silibus KFLI semalam ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil, Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Profesor Emeritus Dato’ Dr Johari Mat, Pengarah Pusat Kajian Strategik Dr. Wan Nik Wan Yusof termasuk pendakwah Ustazah Asmak Husin.


Tambah YB Zamakhshari, sejak diperkenalkan awal tahun ini, KFLI telah menganjurkan beberapa program latihan berperingkat, antaranya Kelantan Future Leader Camp (Februari) untuk pelajar sekolah menengah, Kelantan Future Leader Boot Camp (Jun) untuk lepasan SPM, STPM dan STAM, serta Kelantan Future Leader Academy (Ogos) yang memberi latihan kepimpinan kepada mahasiswa.

"Dengan pendekatan menyeluruh, KFLI diyakini menjadi teras utama melahirkan barisan pelapis kepimpinan belia yang berdaya saing, berkarakter Rabbani dan bersedia memimpin Kelantan pada masa depan," jelasnya.



Post a Comment

0 Comments