Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 22 Oktober – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kini giat memperketatkan pengawasan terhadap institusi pondok yang dikenal pasti tidak berdaftar bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang dan syariat Islam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, tindakan tersebut penting bagi memastikan kawalan menyeluruh ke atas semua institusi pengajian Islam di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.
“JAHEAIK sedang meneliti dan mengumpul data terkini berkaitan jumlah pelajar dan guru pondok. Pada masa ini, terdapat 50 buah pondok berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), dengan hampir 4,000 pelajar,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, pihak kerajaan negeri melalui JAHEAIK merancang untuk memperkemas kaedah pendaftaran serta pengawalan institusi pengajian Islam di bawah Enakmen MAIK bagi tahun 2025 dan seterusnya.
“Ini bagi mengelakkan timbulnya isu-isu yang melanggar syariat dan undang-undang di institusi pengajian Islam, termasuk di pondok-pondok,” katanya.
Untuk rekod, terdapat 145 institusi pengajian Islam yang berdaftar dengan MAIK setakat ini.
Daripada jumlah itu, 50 daripadanya ialah pondok, manakala selebihnya terdiri daripada pusat tahfiz, sekolah rendah Islam dan sekolah menengah Islam.
YB Mohd Asri turut menyeru agar semua madrasah baharu yang beroperasi atas nama institusi pengajian Islam mendaftar secara rasmi dengan MAIK bagi memudahkan pemantauan menyeluruh.
“Apabila ada pelajar, institusi itu perlu didaftarkan bagi tujuan kawalan, bukan sekadar dari aspek pengajian tetapi juga pemakanan, kesihatan dan keselamatan,” katanya.
Mengenai dakwaan berlaku kegiatan penggubahan wang haram di pondok-pondok, beliau menjelaskan bahawa JAHEAIK setakat ini tidak menerima sebarang maklumat atau aduan berkaitan perkara tersebut.
"Setakat ini, tidak ada aduan yang melibatkan penggubahan wang haram, khususnya di pondok yang sampai kepada pihak JAHEAIK. Aduan yang diterima JAHEAIK setakat ini lebih kepada kebimbangan terhadap ajaran yang mungkin menyeleweng.
"Sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan penggubahan wang haram di pondok-pondok, perkara ini akan disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)," tambahnya.
0 Comments