Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 22 Oktober 2025 – Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV hari ini menjadi saksi kehebatan suara dan hujah wanita Kelantan apabila seramai 14 peserta mewakili setiap parlimen negeri ini menyertai Program Pentas Khas Wanita, Pidato Mek Kelate sempena Sambutan 35 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam.
Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zin berkata program itu bertepatan dengan sunnah besar Rasulullah SAW yang menjadikan dakwah sebagai asas perjuangan hingga ke Madinah.
"Pentas Pidato Mek Kelate ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu medan latihan untuk memperkukuhkan dakwah serta membiasakan wanita Kelantan tampil yakin di khalayak ramai,” katanya ketika merasmikan pentas tersebut.
![]() |
YB Nor Asilah Mohamed Zin ,Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan |
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap penyertaan wanita dari seluruh negeri yang bukan sahaja berani berpidato, tetapi juga memahami isu semasa serta mampu mengupas dasar dan hala tuju negeri.
"Saya berharap para pemidato ini dapat menjadi suara kepada rakyat dalam menerangkan Dasar Membangun Bersama Islam, yang telah digerakkan sejak 35 tahun yang lalu,” ujarnya lagi.
Menurutnya, wanita Kelantan perlu mahir dalam pelbagai bidang, bukan sahaja di dapur, tetapi juga mampu berdiri di pentas sebagai pemidato berwibawa yang menyampaikan mesej Islam dan kebenaran dengan penuh hikmah.
"Kita mahu melahirkan wanita yang hebat dari dapur hingga ke pentas pidato,” katanya
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa) selaku penganjur utama program tersebut atas usaha murni memupuk keyakinan dan potensi wanita negeri ini.
Semua peserta menerima sijil penghargaan, wang tunai dan cenderahati, manakala Pemidato Terbaik Pentas Pidato Mek Kelate 2025 disandang oleh Siti Aminah Rasdi dari Parlimen Machang yang membawa tajuk pidato, Ketua Muslimah Kampung – Dari Dapur ke Pentas Perjuangan.
0 Comments