Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 23 Oktober 2025 – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh peserta Global Sumud Flotilla yang memberi inspirasi perjuangan kepada umat Islam untuk tetap teguh dalam usaha memecahkan kepungan dan kesunyian terhadap genosid yang berlaku di Gaza.
“Saya ucapkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh peserta Global Sumud Flotilla yang memberikan inspirasi perjuangan kepada kita semua untuk tetap sumud dan tidak berganjak berusaha memecahkan kepungan dan kesunyian terhadap genosid yang berlaku di Gaza,” katanya ketika merasmikan Konsert Amal Sumud Palestin, sempena Sambutan 35 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI 2025) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV semalam.
Beliau menekankan bahawa keberanian dan pengorbanan para peserta misi kemanusiaan tersebut menjadi sumber kekuatan dan semangat perjuangan kepada umat Islam di seluruh dunia untuk terus membela Palestin.
“Mereka membuktikan bahawa perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin bukan sekadar slogan, tetapi suatu tanggungjawab bersama ummah. Setiap langkah, doa dan sumbangan yang dihulurkan adalah sebahagian daripada jihad menentang kezaliman Zionis,” jelasnya.
Konsert amal yang dihadiri ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan usia itu juga menampilkan perkongsian pengalaman oleh tiga orang wira Sumud Flotilla iaitu Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khiruddin selain persembahan artis tempatan seperti Poyie Gasi, Den Manjo, Hazwan Rahman dan Geng 3 Beradik.
Menteri Besar Kelantan turut menegaskan bahawa tanah Palestin adalah milik umat Islam, dan menjadi tanggungjawab seluruh umat untuk bangkit mempertahankan kesuciannya.
“Ingat! Tanah Palestin milik umat Islam. Umat Islam mesti kembali bersatu dan menjadi umat yang kuat serta digeruni musuh. Apa yang berlaku kepada Palestin dan juga sikap negara-negara umat Islam hendaklah dijadikan iktibar agar ummah terus bangkit sehingga tanah suci itu dibebaskan daripada cengkaman penjajah laknatullah,” tambahnya.
Beliau juga menyebut mengenai sifat khianat rejim Zionis yang sering melanggar perjanjian dan gencatan senjata.
“Meskipun gencatan senjata baru sahaja diisytiharkan oleh puak mereka, mereka juga yang melanggarinya. Ini merupakan sebahagian akhlak buruk yang Allah rakamkan di dalam al-Quran agar tidak menjadi ikutan kepada umat akhir zaman,” tambahnya.
Beliau menyeru seluruh rakyat Kelantan agar terus menunjukkan solidariti dengan cara menghulurkan sumbangan jihad harta dan doa yang tidak putus-putus kepada rakyat.
0 Comments