Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan menggubal Dasar Keluarga Mawaddah dan Dasar Kanak-kanak
Fitrah yang menjadi landasan kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Pembangunan
Keluarga dan Kanak-kanak.
Selain itu kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan jabatan dan NGO wanita bagi meningkatkan kesedaran tentang jenayah seksual serta literasi digital selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Dato’ Rohani Ibrahim berkata, dasar itu diwujudkan bagi melahirkan suasana harmonis dalam masyarakat.
Selain itu pelbagai program dilaksana dengan penglibatan aktif komuniti setempat yang dikendalikan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa).
“Kefahaman terhadap dasar tersebut diharap dapat membendung gejala sosial dalam masyarakat.
“Masyarakat perlu kembali kepada ajaran Islam yang menekankan penjagaan maruah (‘iffah) dan amanah terhadap diri serta orang lain,” katanya di sini.
Menurutnya juga kerajaan Kelantan memandang serius insiden rogol dan rakaman tidak senonoh yang dilapor berlaku di sebuah sekolah baru-baru ini.
Kata beliau perkara itu bukan sahaja mencemar maruah mangsa, malah menggugat keselamatan serta kesejahteraan pelajar.
“Kerajaan negeri menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada mangsa dan keluarga mereka. Siasatan menyeluruh Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pendidikan perlu bagi menegak keadilan,” ujarnya.
Baru-baru ini media melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan SPM disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka.
Kejadian rogol bergilir-gilir dipercayai berlaku 2 Oktober dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah dan perbuatan itu dirakam mengguna telefon bimbit dua daripada suspek.
Rohani berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pelaku, sama ada pelajar mahupun individu dewasa yang terlibat.
Menurutnya juga sekolah perlu memperkukuh pendidikan akhlak, moral dan keselamatan diri dalam kalangan pelajar.
0 Comments