JKM tambah 20 lagi PPS di Kelantan

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan menambah sebanyak 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai persiapan awal menghadapi banjir tahun ini.

Timbalan Pengarah JKM Kelantan, Md. Yani Mat Zin berkata, penambahan itu menjadikan keseluruhan 459 PPS di negeri tersebut berbanding 439 tahun lepas.

Katanya, pertambahan PPS tersebut melibatkan kawasan berisiko tinggi termasuk di Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu.

“Pertambahan PPS itu mampu menampung kira-kira 172,460 mangsa banjir di seluruh negeri. Usaha itu dibuat berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak awal tahun ini.

 “Kita akui faktor cuaca yang tidak menentu termasuk kejadian banjir serentak di beberapa jajahan menyebabkan langkah awal perlu diambil bagi memastikan tiada masalah timbul,” katanya selepas program Memacu Kehidupan Festive: Deepavali 2025 di sini, semalam.


Md. Yani juga berkata, pihaknya bersama agensi lain mengadakan mesyuarat penyelarasan melibatkan semua aspek pengurusan bencana.

Menurutnya juga sebanyak 160 pangkalan hadapan disedia bagi memastikan keperluan bekalan makanan bencana dapat diagihkan dengan cepat dan teratur.

“Kita juga menyediakan sebanyak 17 mini depoh di semua jajahan bagi tujuan penyaluran barangan asas.

“Pada masa sama, sebuah jawatankuasa bagi setiap jajahan dibentuk melibatkan 400 kakitangan atau sekurang-kurangnya sembilan orang bertugas di setiap PPS, tidak termasuk sukarelawan dan tukang masak yang dilantik,” katanya.

Post a Comment

0 Comments