70 peratus sukarelawan ke Gaza bukan Islam

Oleh INTAN LESTARI 

KLANG: Mungkin ramai tidak tahu Misi kemanusiaan Sumud Frotilla ke Gaza baru-baru ini disertai lebih 70 peratus sukarelawan bukan Islam. 

Penyertaan relawan bukan Islam dari seluruh dunia itu membuktikan mereka bersatu atas dasar kemanusiaan yang melangkaui batas agama dan bangsa.

Menurut peserta misi tersebut, Norhelmi Ab Ghani, mereka menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang berdepan dengan kekejaman rejim zionis Israel. 

Kata beliau, para relawan sanggup menempuh perjalanan berisiko tinggi melalui perairan antarabangsa, dengan kemungkinan ditahan atau diserang  tentera Israel. 


Namun katanya, semangat mereka tidak goyah, malah semakin kuat terhadap setiap ancaman yang diterima.

"Kita perlu bermuhasabah apabila nilai kemanusiaan dan keberanian yang ditonjolkan sukarelawan bukan Islam dilihat jauh lebih tinggi berbanding segelintir masyarakat Islam sendiri," katanya di majlis Hi-Tea anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor semalam. 

Menurut Norhelmi juga selepas menjalani latihan simulasi beliau tersedar misi itu adalah 'Misi one way ticket' iaitu tiada jaminan untuk pulang. 

"Sebab itu kapal-kapal yang membawa relawan bukan disewa tetapi dibeli kerana ia tiada jaminan untuk balik. 

"Ketika bot kami menghampiri Gaza, kapal kami sentiasa diganggu tentera Israel dan disuluh dengan spot light yang sangat terang. 

"Sekitar 4 pagi, kapal kami dipintas dan lebih kurang 10 tentera rejim naik ke kapal kami. Kami diperiksa setiap seorang," katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa misi kemanusiaan menyelamatkan rakyat Palestin adalah perjuangan semua orang. 

"Kita jadilah mata rantai perjuangan untuk membebaskan rakyat Gaza dari cengekaman kejam zionis Israel," tegasnya. 

Sementara itu Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor memulakan program jelajah  bagi berkongsi pengalaman relawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Program itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai realiti sebenar di bumi Palestin serta menanam semangat kemanusiaan dan solidariti terhadap rakyat yang tertindas di bumi Gaza. 

Road show tersebut dimulakan dengan Majlis Hi-Tea di Klang, yang menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat setempat. 

Program berkenaan turut menampilkan perkongsian langsung daripada relawan Yayasan Amal Malaysia yang menyertai Misi Sumud Fotilla.

Selepas Klang, siri jelajah itu akan diteruskan ke beberapa kawasan lain di Selangor, termasuk Subang Jaya, Sabak Bernam, Kota Raja, dan Ulu Langat. 

Setiap lokasi akan menampilkan sesi dialog, tayangan dokumentari misi, serta peluang untuk orang ramai menyertai dan menyumbang kepada projek bantuan kemanusiaan pada masa akan datang.


Post a Comment

0 Comments