SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Beca
berhias yang diilhamkan Jewels Hotel mengetengahkan keindahan batik, permainan
tradisional dan identiti kampung berjaya mencuri perhatian penonton malam tadi.
Beca terbabit bertema ‘Beca Warisan: Pesona Batik & Permainan Tradisi Kelantan’ mendapat sorakan gemuruh orang ramai sehingga memecah suasana malam di bandar Kota Bharu.
Beca tersebut dikayuh bermula dari hadapan Kota Darulnaim menuju ke Stadium Sultan Muhammad 1V sempena sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Muhammad V.
Elemen batik asli Kelantan dijadikan hiasan utama dengan bumbung bermotif flora dan fauna, di samping miniatur wau bulan, gasing serta congkak yang menjadi simbol kebersamaan rakyat.
Reka bentuknya turut diserikan dengan sentuhan kampung melalui replika rumah tradisional, anyaman mengkuang serta penggunaan warna hijau, coklat dan emas yang melambangkan keteguhan budaya dan kemuliaan institusi diraja.
Menariknya, identiti Jewels Hotel turut diterap melalui warna tema emas dan maroon serta paparan logo hotel pada sisi beca secara elegan, selari dengan konsep ‘Jewels of Kelantan’ yang membawa imej hotel sebagai permata budaya dan hospitaliti negeri.
Pengurus Jewels Hotel, Muhammad Azrin Zainal Abidin berkata, penyertaan pihaknya pada pertandingan tersebut sebagai tanda kasih setia kepada Sultan Muhammad V.
“Kami mengambil bahagian bukan sahaja bagi menyatakan kasih dan taat setia kepada baginda, bahkan untuk memperkukuh peranan hotel dalam mengangkat warisan budaya Kelantan,” katanya di sini.
Menurutnya gabungan unsur batik, permainan tradisi dan identiti kampung menjadi simbol kecantikan warisan negeri serta memperkukuh imej Jewels Hotel sebagai permata budaya dan hospitaliti Kelantan.
Beca Hotel Jewels diumum sebagai naib johan kategori beca berhias dengan meraih hadiah RM700, manakala Hotel Perdana di tempat pertama (RM1,000) dan ketiga Hotel Renai (RM500).
0 Comments