Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
BACHOK, 5 Oktober – Lebih 1,400 peserta menyertai Program Pink Walk 2025 yang berlangsung meriah di Pantai Irama, Bachok semalam sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap wanita yang berjuang melawan kanser payudara.
Program berkonsepkan Fun Walk itu dirasmikan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang turut berkenan menyertai acara berjalan santai bersama para peserta.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata program tersebut membawa mesej mendalam tentang pentingnya kesedaran awal dan sokongan moral kepada pesakit kanser payudara.
“Lebih 1,400 peserta termasuk para pejuang dan pesakit bebas kanser yang hadir dengan senyuman serta kekuatan luar biasa. Program sebegini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi simbol sokongan dan solidariti terhadap wanita yang berjuang melawan kanser payudara,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Beliau turut berharap agar kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap penyakit ini terus disemai agar lebih ramai wanita tampil menjalani pemeriksaan awal demi kesihatan diri dan keluarga.
Program anjuran Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan itu turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada Yayasan Kasih Kanser dan Kronik, yang disempurnakan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan.
Antara penyumbang ialah Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Hussin serta So Fast Empire (M) Sdn. Bhd.
0 Comments