Dasar MBI terus jadi tunjang pentadbiran Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diasaskan oleh mantan Menteri Besar Kelantan Almarhum Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1990, terus menjadi teras dan panduan utama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan sehingga hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Membangun Bersama Islam kali ke-35, merangkap Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, dasar MBI bukan sekadar slogan semata-mata, tetapi menjadi panduan menyeluruh dalam menggubal dasar dan melaksanakan urusan pentadbiran negeri.

Menurutnya, pelaksanaan dasar tersebut meliputi pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial, pendidikan dan pembangunan insan, semuanya berpaksikan kepada prinsip Islam sebagai addin yang syumul.

“Kini dasar ini diteruskan dengan pendekatan baharu di bawah kepimpinan YAB Dato’ Panglima Perang melalui gagasan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

“Pendekatan ini bukan sekadar melihat Islam diterjemahkan dalam bentuk dasar, tetapi turut dihayati dalam budaya kerja serta cara hidup bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Membangun Bersama Islam kali ke-35 yang diadakan di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa.

Tambahnya, dasar berkenaan menuntut agar setiap penjawat awam dan rakyat menjadikan Islam sebagai tunjang kehidupan serta panduan dalam setiap tindakan, sekali gus melahirkan masyarakat yang bertakwa kepada Allah SWT.

Mengimbas pencapaian dasar tersebut sepanjang 35 tahun pelaksanaannya, Dato’ Wan Roslan berkata, banyak kejayaan telah dikecapi termasuk peningkatan pembangunan fizikal, pertumbuhan ekonomi rakyat dan kesejahteraan sosial yang semakin baik.

“Namun, kejayaan yang paling besar ialah kejayaan melahirkan masyarakat yang berjiwa Rabbani, berakhlak mulia dan berteraskan keimanan kepada Allah SWT,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar sambutan 35 tahun dasar MBI itu menjadi platform untuk memperkukuh pelaksanaan strategi PMBI secara lebih menyeluruh, bukan hanya sebagai slogan dan dasar semata-mata, tetapi dihayati dalam sistem pentadbiran, pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan negeri.

Katanya lagi, sambutan tersebut juga diharap dapat menjadi pemangkin ke arah pelaksanaan halatuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028 yang menekankan prinsip tadbir urus Islam, kesejahteraan rakyat serta pembangunan mampan berteraskan nilai-nilai murni Islam.

“Sambutan ini bukan sahaja menandakan kejayaan pelaksanaan dasar ini selama lebih tiga dekad, tetapi menjadi ruang untuk kita memperbaharui tekad dalam menghayati falsafah dan roh Membangun Bersama Islam yang menjadi tunjang pentadbiran negeri Kelantan,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments