Malaysia terperangkap tandatangani perjanjian perdagangan AS


Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lepas dilihat berat sebelah, malah memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara.

Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, berdasar butir-butir perjanjian yang diuar-uarkan dilihat akan memberi kesan buruk kepada negara.

"Perjanjian ini sangat berat sebelah dan jelas lebih menguntungkan Amerika berbanding Malaysia,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Pada 26 Oktober lepas Malaysia dianggap menjadi anggota ASEAN pertama yang memeterai perjanjian 'timbal balik' di bawah rangka perdagangan baharu yang dihidupkan semula Washington.

Majlis tandatangan itu berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengehadkan pelaksanaan program tarif timbal balik dilaksanakan Trump.

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS memutuskan sebahagian tindakan presiden melebihi kuasa yang dibenarkan.

Kamarudin berkata, Malaysia dilihat tertekan untuk menerima syarat perjanjian tersebut yang boleh menjejaskan hubungan perdagangan dengan beberapa negara lain termasuk Indonesia.

“Contohnya, pembelian arang batu untuk penjanaan kuasa oleh Tenaga Nasional sekarang diperoleh dari Indonesia. Saya tidak nampak rasionalnya mengapa kita perlu membeli dari Amerika yang jaraknya begitu jauh.

“Kita tidak dapat memastikan adakah Malaysia perlu menghentikan pembelian arang batu dari Indonesia yang jarak masa hanya satu jam,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran Petronas membeli gas asli dari AS sedangkan Malaysia merupakan negara pengeluar gas.

“Keadaan ini tidak ubah seperti orang Eskimo yang dipaksa membeli ais dari negara Timur Tengah yang tidak mempunyai ais. Ini amat pelik,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan.

Menurutnya kebimbangan terhadap kesan perjanjian itu lebih meruncing memandangkan negara kini berdepan hutang mencecah RM1 trilion.

Kata beliau jika Malaysia terpaksa membeli barangan Amerika bernilai tinggi mungkin terpaksa berhutang lagi dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sedangkan katanya, ada negara ketiga menjadi muflis akibat pinjaman IMF, dan jika Malaysia terjebak dalam situasi serupa, aset-aset negara boleh tergadai.

Tambahnya, ekonomi negara sudah terjejas teruk di bawah kerajaan madani dan ditambah pula dengan perjanjian dengan AS lubang hutang negara akan menjadi semakin luas dan dalam.

“Sedangkan produk utama negara seperti minyak kelapa sawit masih gagal menembusi pasaran Amerika meskipun selepas perjanjian tersebut dimeterai.

“Sudah berpuluh tahun Malaysia cuba untuk memasarkan minyak kelapa sawit ke Amerika, namun masih gagal,” ujar beliau.

Post a Comment

0 Comments