Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 29 Oktober 2025 – Kelantan mengambil langkah strategik bagi melahirkan ulama berwibawa menerusi kerjasama dengan Universiti Al-Qarawiyyin pada Selasa.
Delegasi yang membawa rombongan ulama pondok negeri Kelantan itu disambut oleh Rektor Dr. Amal Jalal.
Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, perbincangan tersebut tertumpu kepada kerjasama pengajian di bawah Ta'alim Al-Atiq, sistem pondok tradisional yang menekankan pembacaan kitab secara talaqqī dan musyafahah.
"Murid hanya menerima ijazah setelah menguasai matan dan syarah tertentu dalam tempoh tiga tahun, tanpa sistem kredit atau semester seperti universiti moden.
"Kaedah pengajian pondok di negara kita menyamai Taa' lim Al-Atiq di sini, tetapi pengambilan murid di sini sangat ketat dan mesti hafal 30 Juz Al-Quran terlebih dahulu " jelasnya menerusi laman rasmi pada Selasa.
Tambahnya, pelajar yang menamatkan pengajian pondok boleh menyambung ke peringkat universiti rasmi di Jami’ah, yang beroperasi di bawah Kementerian Wakaf Maghribi, lengkap dengan struktur fakulti, peperiksaan, dan anugerah ijazah.
Delegasi berkenaan turut meninjau usaha institusi pengajian Islam tertua di Maghribi tersebut dalam menjaga dan memperbaiki manuskrip lama, melawat tempat ibadat dan suluk penulis Dala’ilul Khairat Syeikh Muhammad Sulaiman al-Jazuli, serta menerima ijazah pengamalan Dala’ilul Khairat.
Rombongan itu turut mengadakan tinjauan ruang asrama pelajar, bilik pengajian serta dewan kuliah.
"Semoga jalinan yang dibina ini akan membuahkan hasil yang terbaik demi pembentukan generasi ulama rabbani di Negeri Serambi Mekah " ujar YB Mohd Asri.




0 Comments