Pelajar tahfiz cipta ‘Sky Hanger’ atasi masalah jemuran pada musim hujan


Oleh: Syamimi Manah
Kredit Foto: Media Sekolah

KOTA BHARU, 19 Oktober 2025 – Sekumpulan pelajar dari Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, Tumpat berjaya mencipta inovasi ‘Sky Hanger’, iaitu alat penyidai pakaian pintar yang direka bagi mengatasi masalah mengeringkan pakaian pada musim hujan.

Alat tersebut berfungsi mengalihkan pakaian secara automatik ke kawasan teduh apabila hujan turun atau pada waktu malam.

Menurut salah seorang ahli kumpulan Adam Amsyar Abdullah, 14, idea berkenaan tercetus selepas melihat ramai pengguna menghadapi kesukaran mengangkat pakaian ketika tiada di rumah.


“Fungsi alat ini ialah untuk mengalihkan pakaian secara automatik ke tempat yang terlindung ketika hujan atau malam hari.

"Kos untuk menghasilkan replika ini juga sangat rendah, iaitu kurang daripada RM50,” katanya.

Inovasi berkenaan berjaya meraih pingat gangsa sempena Pertandingan Karnival Penyelidikan dan Inovasi (CRI 2025) serta Karnival STEM Kebangsaan (STEM 2025) yang diadakan bersempena Festival Idea@Kelantan 2025 Peringkat Negeri Kelantan pada 13 hingga 14 Oktober lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan terbabit atas kejayaan mereka.

“Tahniah kepada pelajar Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin, Tumpat atas kejayaan mencipta inovasi ‘Sky Hanger’ yang mudah mengeringkan pakaian pada musim hujan dan berjaya memperoleh pingat gangsa dalam dua karnival inovasi berprestij ini,” katanya menerusi laman sosial, pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut membuktikan pelajar tahfiz berpotensi cemerlang dalam bidang STEM, sekali gus melahirkan generasi seimbang antara ilmu agama dan kemahiran moden.



Post a Comment

0 Comments