Teruskan boikot produk Israel, solidariti kepada sukarelawan GSF dan rakyat Palestin – MB Kelantan


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 6 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menyeru rakyat negeri ini supaya terus memboikot produk Israel sebagai tanda solidariti terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dan rakyat Palestin.

Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Nassuruddin Daud berkata tindakan Israel yang menghalang misi kemanusiaan tersebut jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan negeri mengajak semua rakyat bersatu hati memperkukuh solidariti melalui kesedaran masyarakat dan langkah boikot. Pada masa sama, marilah kita menunaikan solat hajat agar saudara kita di Palestin serta sukarelawan misi ini dilindungi dan diberikan kejayaan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial rasmi pada Jumaat.

Beliau menjelaskan bahawa misi GSF yang disertai sukarelawan dari 46 negara, termasuk 26 rakyat Malaysia itu hanya membawa bantuan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta perkhidmatan kesihatan.

“Misi ini dilaksanakan secara aman tanpa sebarang senjata, namun tetap dihalang dan sebahagiannya ditahan pihak berkuasa Israel.

“Kerajaan negeri menzahirkan sokongan padu kepada peserta GSF dan rakyat Palestin. Tindakan Israel ini bukan sahaja menjejaskan prinsip kemanusiaan sejagat, malah menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan asas bagi meneruskan kehidupan seharian,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments