Kejohanan Silat Jatuh Setanjak Kelantan 2025 semarakkan warisan Melayu dan ukhuwah Nusantara


Oleh: Asri Hamat 

KOTA DARULNAIM, 26 Oktober – Seni silat bukan sekadar warisan bela diri, tetapi juga lambang jati diri serta kebudayaan Melayu yang kaya dengan nilai semangat, disiplin dan persaudaraan. 

Semangat itu terserlah melalui penganjuran Kejohanan Silat Jatuh Setanjak Kelantan 2025 yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud di perkarangan Bangunan ABASK Trading, Rantau Panjang pada Sabtu.

Beliau menzahirkan rasa bangga melihat anak-anak muda terus mewarisi dan mencintai warisan bangsa melalui seni silat.

"Kito ttewah (berlawan) di atas gelanggang, namun berukhuwwah di luar gelanggang,” ujar beliau menerusi satu hantaran di media sosial miliknya pada Sabtu, yang menggambarkan semangat persaudaraan yang dipupuk melalui pertandingan tersebut.

Menurut beliau, seni silat merupakan lambang kebudayaan dan identiti Melayu kerana mengandungi khazanah warisan turun-temurun seperti tulisan jawi, semangat kepahlawanan Hang Tuah dan Hang Jebat serta nilai keharmonian jasmani dan rohani yang menjadi teras peradaban Melayu.

"Aksi lincah dan bertenaga para peserta memperlihatkan keunikan langkah serta seni bela diri masing-masing yang menyerlahkan lagi kehebatan dan keindahan seni silat tradisional," ujarnya. 



Kejohanan kali ini turut disertai wakil-wakil dari Narathiwat, Thailand, sekali gus mempertautkan silaturahim dua rumpun Melayu Nusantara. 

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor, yang turut mengiringi Menteri Besar merasmikan kejohanan tersebut berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sahaja memperlihatkan kehebatan seni pertahanan diri warisan bangsa, malah mengukuhkan jati diri anak muda melalui nilai disiplin, keberanian dan hormat-menghormati yang diasuh dalam seni silat.

“Program seperti ini juga menjadi pemangkin kepada pemerkasaan pelancongan sukan dan budaya di kawasan sempadan, selain memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali keunikan seni mempertahankan diri tradisional Kelantan,” katanya menerusi catatan di media sosial miliknya, pada Sabtu.

Post a Comment

0 Comments