Suara wanita Kelantan bergema penuh semangat di pentas Pidato Mek Kelate, bersempena Sambutan 35 Tahun Membangun Bersama Islam yang berlangsung meriah di Dataran Warisan, Kota Bharu.
Seramai 14 orang pemidato tampil dengan gaya tersendiri menyampaikan pidato berasaskan tema “Membangun Bersama Islam” yang menjadi tunjang pentadbiran dan perjuangan negeri Kelantan sejak tiga dekad lalu.
Program ini menjadi wadah untuk menzahirkan gagasan Islam dalam pentadbiran, pembangunan dan kehidupan masyarakat menerusi suara wanita. Setiap pemidato membawa mesej tentang tanggungjawab, kepimpinan serta peranan Muslimat dalam membangunkan negeri berpaksikan nilai Islam.
Lebih daripada sekadar pentas pidato, Pidato Mek Kelate turut berperanan sebagai jurucakap program Membangun Bersama Islam (MBI) dengan menguar-uarkan dasar, program dan inisiatif kerajaan negeri kepada masyarakat. Melalui keupayaan berpidato dan kefahaman yang mendalam, para pemidato menjadi saluran penerangan rakyat, menjelaskan usaha kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan insan, kebajikan dan kesejahteraan berteraskan Islam.
Kehadiran pimpinan negeri serta sokongan padu masyarakat menambahkan lagi seri program ini, menjadikan Pidato Mek Kelate simbol kebangkitan suara Muslimat dalam meneruskan agenda Membangun Bersama Islam di bumi Serambi Mekah.


0 Comments