Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 24 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan peruntukan segera bagi kerja-kerja pembaikan jambatan uzur di Taman Sabariah bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dijalankan dengan lancar dan tanpa sebarang kelewatan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata kerja-kerja penyelenggaraan kini telah dimulakan selepas proses penyediaan dokumen, tender dan pelantikan kontraktor selesai dilaksanakan.
“Saya telah mengarahkan agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu serta Pusat Khidmat DUN untuk menjadikan pemulihan jambatan ini sebagai satu keutamaan.
“Buat masa ini, jambatan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada orang awam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan dengan selamat dan teratur,” katanya menerusi media sosial, pada Khamis.
Beliau turut menyeru semua pihak agar tidak mempolemikkan isu berkenaan atau menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Salurkan aduan di saluran yang betul. Apabila aduan diterima, ia perlu melalui proses yang sepatutnya bermula daripada kelulusan bajet, penyediaan reka bentuk, sebut harga, penyediaan dokumen kontrak sehinggalah ke peringkat tawaran tender dan pelantikan kontraktor.
“Semua itu perlu melalui prosedur bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan sesuatu projek. Kita tidak mahu menggunakan pendekatan ‘bulldoze’ yang akhirnya menyebabkan projek menjadi ‘gajah putih’ dan merugikan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, pada 14 Julai lalu, Dato’ Dr. Izani telah mengadakan lawatan ke lokasi jambatan tersebut dan mendapati struktur berkenaan berada dalam keadaan uzur serta membahayakan pengguna.





0 Comments