Oleh: Asri Hamat
Kredit Foto: Media ECERDC
Kredit Foto: Media ECERDC
KOTA BHARU, 24 Oktober — Momentum pembangunan Kelantan terus dipacu melalui projek-projek infrastruktur strategik di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang memperkukuh kesalinghubungan dan membuka horizon baharu pelaburan serta peluang ekonomi di negeri ini.
Setakat September 2025, ECERDC telah merealisasikan pelaburan bernilai RM1.12 bilion di Kelantan, dengan sektor pembuatan muncul sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Pelaburan itu telah mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, manakala pelaburan komited bernilai RM736 juta dijangka menghasilkan lebih 1,300 peluang pekerjaan baharu apabila direalisasikan kelak.
Antara projek mercu yang menjadi tumpuan ialah Jambatan Palekbang–Kota Bharu, yang kini mencapai kemajuan 22 peratus.
Setelah siap kelak, jambatan ini akan menjadi nadi penghubung utama antara Kota Bharu dan Tumpat, sekali gus mengurangkan kesesakan di pusat bandar dan memperluas kawasan pertumbuhan baharu di utara Kelantan.
Menurut Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, projek tersebut adalah sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang yang dirangka bersama ECERDC untuk memperkukuh infrastruktur dan menarik pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan ECERDC memberi jaminan bahawa setiap projek pembangunan dilaksanakan seiring dengan keutamaan negeri. Perkongsian strategik ini bukan sahaja memperkukuh ekonomi utama negeri, malah meningkatkan taraf hidup rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan di Mabna pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Dato’ Baidzawi Che Mat berkata pembangunan Jambatan Palekbang–Kota Bharu serta jaringan projek pengangkutan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan meletakkan Kelantan sebagai hab penghubung ekonomi serantau baharu.
“Projek-projek pemangkin ini akan memperkukuh kesalinghubungan antara daerah dan wilayah, membuka laluan pelaburan baharu serta meningkatkan aktiviti perdagangan, logistik dan pelancongan,” katanya.
Projek LTU yang kini giat dilaksanakan di beberapa seksyen utama dijangka mengurangkan masa perjalanan antara bandar utama di Kelantan dan negeri jiran, sekali gus merancakkan mobiliti barangan serta memperkukuh rantaian bekalan industri tempatan. Kesalinghubungan antara LTU, Jambatan Palekbang dan ECRL bakal mencipta rangkaian infrastruktur bertaraf nasional yang mampu menjadikan Kelantan sebagai pusat ekonomi baharu di Pantai Timur.
Selain infrastruktur jalan raya, ECERDC turut melaksanakan beberapa projek pelengkap termasuk Taman Industri Tok Bali (TBIP), naik taraf Jeti Tok Bali, serta penambahbaikan kemudahan awam di Rantau Panjang bagi menyokong pembangunan perdagangan rentas sempadan dan pelancongan.
Tambahnya, dalam sektor asas tani, ECERDC telah menyiapkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Pasir Puteh yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2026.
Projek berkenaan akan membantu penternak kecil meningkatkan pengeluaran dan pendapatan melalui rantaian nilai industri tenusu tempatan.


0 Comments