Kelantan tegas pertahankan dasar MBI sebagai teras tadbir urus negeri


Oleh: Syamimi Manah

BANGI, 13 Oktober 2025 – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk terus berpegang teguh kepada dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sebagai teras tadbir urus negeri, sekalipun berdepan arus liberalisme dan perubahan ideologi kepimpinan semasa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata pendekatan berprinsip menjadi garis pemisah antara Kelantan dengan negeri lain yang lebih mudah tunduk kepada tekanan perubahan dasar semasa.

“Kelantan membawa misi al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar, serta seruan mendirikan solat dan menunaikan zakat sebagai asas kepada pembangunan negeri. Itulah yang membezakan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Townhall Pimpinan Kerajaan Negeri bersama Anak Kelantan di Perantauan yang berlangsung di Bangi semalam.


Menurutnya lagi, walaupun pentadbiran negeri tetap berusaha memajukan ekonomi serta memperkasakan pembangunan fizikal seperti negeri lain, Kelantan mempunyai keutamaan yang lebih besar.

“Kerajaan Negeri menetapkan dua KPI utama, iaitu menjaga kebajikan rakyat dan memelihara hubungan baik dengan Allah SWT,” jelasnya.

Beliau menyifatkan kritikan terhadap Kelantan yang dikatakan ketinggalan dari aspek pembangunan infrastruktur sebagai bersifat separuh pandang.

“Mungkin ada yang melihat Kelantan seolah-olah gagal dalam pembangunan fizikal, namun dari sudut pembangunan Islam, kita sebenarnya sedang melangkah ke hadapan,” tegasnya.


Program Townhall anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan Malaysia (PERAKAN) dan Ikatan Mahasiswa Darul Naim (NAIM Kelantan) itu merupakan platform berkala bagi merapatkan hubungan pimpinan negeri dengan rakyat di luar Kelantan.

Tambahnya, program seumpama itu penting untuk mendengar suara perantau serta mengukuhkan jati diri rakyat Kelantan walau di mana mereka berada.

“Kita semua adalah anak kepada negeri kita. Di mana sahaja kita berada, sifat dan jiwa Kelantan itu tetap ada,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments