Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 28 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda Membangun Bersama Islam (MBI) dengan melancarkan Dasar Qawwamah Lelaki Kelantan (DQLK), yang menekankan peranan seorang bapa sebagai pemimpin, pendidik dan pelindung keluarga dalam membimbing mereka ke arah kehidupan yang diberkati Allah SWT.
Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, dasar berteraskan prinsip Islam itu akan menjadi panduan kepada seluruh masyarakat dalam membina keluarga sejahtera serta melahirkan generasi berakhlak mulia dan diberkati Allah SWT.
"Insya-Allah, buku dasar ini akan menjadi panduan dan iltizam bersama dalam membina keluarga yang sejahtera dan masyarakat yang berakhlak mulia,”
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Membangun Bersama Islam kali ke-35, di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan dasar tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran Islam terus subur dan relevan dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Menurut beliau, tahun 2026 bakal menjadi detik penting dalam landskap politik negara dan negeri Kelantan, justeru umat Islam perlu memperkukuh pegangan kepada ajaran al-Quran bagi menangkis cabaran semasa yang mengancam akidah dan perpaduan umat.
Antara cabaran yang dikenal pasti termasuklah penyusupan racun sekularisme dan liberalisme, limpahan maklumat tanpa tapisan, keruntuhan ilmu dan kehilangan ulama, perpecahan dalam kalangan umat Islam serta kelesuan roh jihad dan semangat khidmat terhadap agama dan bangsa.
“Penyusupan racun sekularisme dan liberalisme telah melemahkan akidah serta merobek benteng iman umat Islam. Tiada jalan lain untuk menangkisnya selain kembali kepada ajaran al-Quran secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, limpahan maklumat tanpa sempadan telah membuka gelanggang peperangan pemikiran antara yang benar dan batil, menuntut kebijaksanaan umat Islam menilai setiap berita berdasarkan panduan wahyu serta bimbingan ulama.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Meranti turut menegaskan bahawa kekuatan Kelantan sejak dahulu berpaksikan kepada ilmu dan ulama, yang mesti terus dipertahankan sebagai nadi kekuatan dan kelangsungan perjuangan Islam di negeri ini.
"Apabila ilmu tidak lagi dimuliakan dan ulama tidak lagi dihormati, maka terbukalah pintu kesesatan, fitnah dan perpecahan. Kita mesti mempertahankan tradisi ilmu dan menghormati ulama agar kelangsungan pentadbiran Islam terus terpelihara,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam agar memperkukuh kesatuan dan meletakkan حفظ الدين (menjaga agama) sebagai asas utama dalam setiap tindakan dan pertimbangan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran Islam di Kelantan.
“Kelesuan roh jihad dan semangat khidmat yang tulus untuk agama, bangsa dan negeri mesti diatasi melalui proses tarbiah, bimbingan dan teladan kepimpinan. Hanya dengan kekuatan semangat ini, pentadbiran Islam akan terus dipertahankan dan diwarisi generasi akan datang,” ujarnya.



0 Comments